PENGUNJUNG SETIA

13 Januari 2014

CIKGU AJAK MURID BERGADUH SUDAH DISIASAT

Ledang: Siasatan terhadap seorang guru sekolah di Labis dekat sini, yang didakwa mengajak seorang murid bergaduh selepas menamparnya tiga kali kerana makan sambil berdiri sudah dijalankan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata, guru berkenaan disiasat pihak sekolah berkenaan dan sebarang keputusan terhadapnya akan dibuat berdasarkan laporan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat dalam masa terdekat.

"Kita akan mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara ini dan pihak jabatan akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata mengenai aduan seorang bapa berikutan anaknya Mohamad Hambali, 11, murid tahun lima mendakwa ditampar di pipi dari arah belakang sebanyak tiga kali pada waktu rehat, Khamis lalu.

Bapa murid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 47, mendakwa tamparan kuat guru terbabit menyebabkan anaknya terjatuh di tepi longkang kantin.

Guru didakwa tidak bertanya terlebih dulu sebab anaknya bertindak makan sambil berdiri ketika itu.

Dakwanya, anaknya yang juga seorang pengawas sekolah itu dikatakan makan sambil berdiri untuk memberi tempat duduk kepada murid lain.

Berikutan itu, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Labis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat serta dilaporkan ke PPD Segamat.

Mohd Nor mengakui tindakan seperti yang didakwa tidak seharusnya dilakukan oleh seorang guru dan mereka perlu mengikut prosedur serta peraturan ditetapkan dengan tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap murid.

Katanya, sebarang tindakan yang tidak mematuhi prosedur atau peraturan akan memberi kesan atau tanggapan tidak baik bukan hanya kepada imej warga pendidik tetapi juga pihak sekolah serta jabatannya.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 JANUARI 2014

Tiada ulasan: