PENGUNJUNG SETIA

18 Januari 2014

LKIM TUMPAS CUBAAN SELUDUP IKAN, UDANG

Ledang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mematahkan enam kes cubaan menyeludup ikan serta udang besar dilarang eksport ke Singapura sepanjang tempoh larangan pada dua minggu pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah LKIM Johor Khairunnisak Omar berkata, larangan eksport terhadap lapan jenis ikan iaitu kembung, selar, cencaru, selayang, tenggiri, keli, tilapia dan bawal putih itu dilaksanakan bermula 1 hingga 28 Januari ini sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Sehubungan itu, kata beliau, LKIM Johor bekerjasama dengan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan di dua pintu keluar ke negara jiran iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta di Lebuhraya Linkedua.

"Sejak larangan itu dikuatkuasakan, ada cubaan pihak tidak bertanggungjawab mengeksport ikan berkenaan serta udang besar ke Singapura.

"Bagaimanapun, cubaan itu dipatahkan petugas di Pusat Kuarantin Pertanian dan Perikanan (MQIS) di dua pintu keluar berkenaan.

"Berikutan itu, kami sudah mempertingkatkan kawalan dengan melakukan pemeriksaan lebih rapi terhadap setiap kotak makanan laut berkenaan yang hendak dibawa keluar dari negara ini," katanya selepas menyampaikan elaun sara hidup kepada 230 nelayan kawasan Ledang di Dewan Serbaguna Taman Tun Syed Nasir di sini, kelmarin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan permintaan beberapa pengusaha yang mahu mengeksport ikan serta udang besar berkenaan berikutan permintaan berterusan daripada pengusaha di Singapura, Khairunnisak berkata, mereka boleh membuat permohonan berdasarkan kuota ditetapkan.

SUMBER: HARIAN METRO, 18 JANUARI 2014

Tiada ulasan: