LEDANG 19 Jan. - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah mengagihkan sebanyak RM83.3 juta kepada kira-kira 12,000 nelayan di negeri ini sebagai elaun sara hidup sejak lebih lima tahun lalu dalam usaha meringankan beban kehidupan mereka.
Timbalan Pengarah LKIM Johor, Khairunnisak Omar berkata, jumlah tersebut diberikan kepada nelayan yang berdaftar dengan persatuan nelayan kawasan (PNK) masing-masing sejak elaun tersebut mula diperkenalkan pada Jun 2008.
"Jumlah terbesar diberikan kepada nelayan di Batu Pahat iaitu RM15.1 juta diikuti Johor Selatan (RM14.77 juta) dan Muar (RM14.05 juta). Elaun bulanan RM200 itu diberikan kepada pemilik individu lesen vesel perikanan atau lesen menangkap ikan yang sah.
"Elaun itu turut diberikan kepada pekerja dalam kalangan warga tempatan iaitu mereka yang memiliki kad nelayan dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia. Semua penerima mesti menjadi ahli PNK supaya insentif atau apa-apa bantuan dapat disalurkan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian elaun sara hidup kepada 230 nelayan kawasan Ledang di Dewan Serbaguna Taman Tun Syed Nasir, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengarah Perikanan Negeri Johor Hamid Yasin.
Untuk itu, Khairunnisak mengingatkan nelayan di negeri ini yang masih tidak mendaftar sebagai ahli supaya segera berbuat demikian kerana mereka berpeluang mendapat pelbagai bantuan kerajaan seperti insentif tangkapan, subsidi petrol, bantuan bencana alam, baik pulih rumah, pinjaman tanpa faedah melalui dana nelayan untuk membeli bot dan peralatan menangkap ikan.
Dalam sidang akhbar selepas itu, beliau mengingatkan pemborong, peraih dan pembekal termasuk peniaga supaya tidak menaikkan harga ikan sesuka hati berikutan terdapat aduan di beberapa daerah yang berdepan dengan keadaan tersebut.
"Terdapat segelintir pemborong, peraih dan pembekal didapati menyorokkan bekalan ikan dan hanya menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mengaut keuntungan berlipat ganda semasa hasil berkurangan terutama musim tengkujuh.
"Faktor lain menyebabkan bekalan ikan kurang kebelakangan ini sehingga membuatkan harganya tidak menentu ialah keadaan laut bergelora yang menyebabkan nelayan tidak dapat turun menangkap ikan. Namun, ia akan diatasi dengan pengeluaran stok pelbagai jenis ikan beku yang lebih murah daripada harga semasa," katanya lagi.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan