PENGUNJUNG SETIA

08 Oktober 2008

AMIL PALSU TAWAR DISKAUN

Amil palsu tawar diskaun

MUAR: Seorang lelaki yang disyaki bertindak sebagai amil mengutip zakat fitrah di sebuah kawasan di sekitar Ledang dipercayai tanpa tauliah daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij), dikatakan menawarkan diskaun hampir 50 peratus berbanding kadar ditetapkan untuk menarik perhatian masyarakat Islam di kawasan itu.

Siasatan awal mendapati lelaki itu menawarkan kadar zakat fitrah antara RM3 hingga RM5 seorang berbanding RM6.50 ditetapkan Maij mengikut harga beras pasaran.

Bagi meyakinkan orang ramai, dia mendakwa kadar ditetapkannya untuk Jihad Ramadan, sekali gus membolehkannya menawarkan harga murah.

Pegawai Tadbir Agama Daerah, Ahmad Hanif Naim, berkata hasil maklumat orang awam, pemeriksaan dijalankan di sebuah kawasan di sekitar Ledang pada 29 September lalu kira-kira jam 5 petang.

Katanya, lelaki berusia 50-an itu yang dipercayai menjalankan kutipan zakat fitrah beberapa tahun lalu ditahan sebelum dibebaskan.

Dia juga diarahkan hadir ke pejabat untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Pada peringkat awal, kutipan dijalankan secara tertutup, tetapi dia memperluaskan kutipan di tempat lain menyebabkan kegiatannya dihidu pihak berkuasa.

“Maij tidak pernah memberi tauliah kepada lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Malah, katanya, resit bayaran yang dikeluarkan lelaki itu juga berbeza daripada dikeluarkan Maij.

“Kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 08 OKTOBER 2008


Tiada ulasan: