PENGUNJUNG SETIA

16 Oktober 2008

MARHABAN SEKOLAH ERATKAN SILATURRAHIM

Marhaban sekolah eratkan silaturrahim

KUMPULAN marhaban Sekolah Kebangsaan Parit Kasan berselawat di rumah salah seorang penduduk, Nasbullah Tahir di Kampung Parit Haji Idris di Muar, baru-baru ini.

MUAR 15 Okt. - Program marhaban membabitkan ibu bapa pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Parit Kasan yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini adalah peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan.

Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Padil Md. Amin berkata, melalui kunjungan marhaban yang merupakan salah satu daripada amalan masyarakat di Johor ketika menyambut Aidilfitri, semua yang terlibat dapat beramah mesra dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

"Saya terharu kerana walaupun negara mengalami peningkatan dalam kemajuan teknologi, namun amalan marhaban dari rumah ke rumah yang masih dijalankan seperti ini membuktikan penduduk kita masih berpegang kepada nilai jati diri yang kuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Marhaban Aidilfitri anjuran PIBG sekolah itu dari rumah ke rumah, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Guru Besar sekolah berkenaan, Munah A. Majid.

Program marhaban anjuran sekolah itu tahun ini disertai seramai 160 murid Tahun 3 hingga 6 dan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Setiap kumpulan dianggotai seramai 20 murid dan diiringi sekurang-kurangnya dua guru dan ahli jawatankuasa PIBG.

Menurut Padil, rombongan marhaban terbabit berkunjung dari rumah ke rumah penduduk yang telah bersetuju kediaman mereka disinggahi kumpulan berkenaan.

Antara kampung yang terlibat dalam program itu adalah Kampung Parit Kasan, Parit Haji Idris, Parit Jarum Darat, Parit Ghani dan Parit Kassim.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: