PENGUNJUNG SETIA

26 Oktober 2008

DUA ANGGOTA POLIS MAUT KEMALANGAN

Dua anggota polis maut kemalangan

MUAR 25 Okt. - Hasrat dua anggota polis untuk pulang bercuti menyambut Deepavali Isnin ini, tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut selepas kereta yang dinaiki bersama dua lagi rakan karib terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Tangkak-Sagil dekat sini, awal pagi ini.

Kemalangan pukul 3.30 pagi itu berlaku berhampiran padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, Tangkak apabila Honda Civic yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiga batang pokok dan sebatang papan tanda.

Berikutan itu, Konstabel M. Jegathesan, 26, dan Konstabel P. Selvakumaran, 26, masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Terengganu dan Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi rakan mereka, K. Loganathan, 22, yang bekerja sebagai pemandu lori serta D. Sathian, 27, cedera pada bahagian kaki dan tangan dan kini dirawat di Hospital Pakar Pantai, Melaka.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, sewaktu kejadian, kesemua empat rakan karib itu dalam perjalanan dari Sagil menghala ke rumah masing-masing di Tangkak selepas menziarahi majlis kematian seorang ahli saudara rakan mereka.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu oleh mendiang Jegathesan itu dipercayai gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh tiga batang pokok serta sebatang tiang papan tanda.

"Berikutan rempuhan yang kuat itu, kereta berkenaan remuk teruk manakala mendiang Selvakumaran yang duduk di sebelah pemandu tercampak ke dalam parit di tepi jalan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tangkak, dekat sini hari ini.

Menurut Mohammad Nasir, kedua-dua anggota polis itu yang bertugas di IPD Marang dan Pasir Mas pulang untuk bercuti menyambut Deepavali di rumah keluarga mereka di sekitar Tangkak sejak semalam.

Kejadian itu merupakan kali kedua dalam tempoh seminggu kemalangan maut membabitkan anggota polis di daerah ini.

Pada 13 Oktober lalu, tiga anggota polis maut apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah bas kilang yang sedang membuat pusingan U di Kilometer 7, Lebuh Raya AMJ, dekat Kesang di sini.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 26 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: