PENGUNJUNG SETIA

19 Oktober 2008

NAJIB, MUHYIDDIN LAYAK

Najib, Muhyiddin layak

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.

Timbalan Perdana Menteri memperoleh pencalonan ke-58 yang melayakkan beliau bertanding jawatan Presiden pada pukul 4.15 petang ini. Ia diberikan oleh persidangan perwakilan UMNO Bahagian Selayang.

Keseluruhannya, Najib yang menjadi calon tunggal bertanding jawatan tersebut mendapat 20 lagi pencalonan baru hari ini, menjadikan pencalonan yang beliau terima setakat ini ialah 66 daripada 65 bahagian yang telah bersidang.

Sebanyak 126 bahagian lain akan bersidang secara berperingkat sehingga 9 November depan.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang turut menawarkan diri bagi jawatan presiden masih gagal mendapat sebarang pencalonan.

Had kelayakan pertandingan bagi jawatan Presiden ialah sekurang-kurangnya 58 pencalonan manakala bagi jawatan Timbalan Presiden ialah sekurang-kurangnya 39 pencalonan.

Najib mendapat pencalonan dari Gerik, Bukit Katil, Masjid Tanah, Alor Gajah, Bukit Gantang, Lenggong, Kuala Langat, Bakri, Nibong Tebal, Titiwangsa, Ledang, Bandar Tun Razak, Selayang, Kuala Selangor, Segambut, Paya Besar, Ipoh Barat, Tapah, Batu Gajah dan Kepong.

Sementara itu, Muhyiddin pula mendapat pencalonan ke-39 yang melayakkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden daripada UMNO Bahagian Gerik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menjadi calon tunggal melepasi had kelayakan tersebut daripada tiga calon yang menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Dua lagi calon iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib masing-masing hanya memperoleh 13 dan lapan pencalonan.

Muhyiddin menambah enam pencalonan baru hari ini dari Gerik, Lenggong, Bakri, Titiwangsa, Ledang dan Paya Besar menjadikan jumlah pencalonan keseluruhan yang diperolehnya sebanyak 44 bahagian.

Mohd. Ali mendapat sepuluh lagi pencalonan manakala Muhammad menambah empat lagi pencalonan baru.

Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi calon keempat melepasi kelayakan bertanding jawatan tersebut hari ini.

Mereka yang telah layak ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Khaled memperoleh 13 lagi pencalonan baru yang menjadikan jumlah keseluruhan sokongan yang diterimanya sebanyak 31, melepasi kuota 20 pencalonan yang ditetapkan bagi bertanding jawatan Naib Presiden.

Bahagian-bahagian yang mencalonkan beliau hari ini ialah Bukit Katil, Masjid Tanah, Bukit Gantang, Ledang, Lenggong, Bakri, Nibong Tebal, Bandar Tun Razak, Selayang, Segambut, Ipoh Barat, Tapah dan Batu Gajah.

Hishammuddin masih mendahului 12 calon lain untuk merebut jawatan Naib Presiden. Beliau kini memperoleh 54 pencalonan diikuti Ahmad Zahid yang menjadi calon kedua tertinggi yang mendapat 38 manakala Mohd. Shafie memperoleh 31.

Calon-calon lain yang belum melepasi had kelayakan tetapi mendapat pencalonan baru hari ini ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar (12), Tan Sri Mohd. Isa Samad (7), Tan Sri Rahim Tamby Chik (4) dan Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (4).

Mereka yang masih kekal dengan pencalonan sebelum ini ialah Datuk Seri Dr. Rais Yatim (6), Datuk Seri Mohamad Hasan (2), Datuk Seri Shahidan Kassim (5) dan Tan Sri Annuar Musa (1).

Sementara itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepasi kuota bagi bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita apabila beliau menerima tujuh lagi pencalonan baru bagi menjadikan pencalonan keseluruhannya untuk jawatan itu sebanyak 40.

Penyandang jawatan itu Tan Sri Rafidah Aziz pula turut menerima tujuh pencalonan daripada 14 bahagian yang bersidang menjadikan jumlah keseluruhan pencalonannya 81.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita, Shahrizat mendapat 81 pencalonan.

Perebutan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda pula menyaksikan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menambah lima lagi pencalonan menjadikan pencalonan yang diterimanya berjumlah 61.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin juga menambah tujuh lagi pencalonan untuk menjadikan jumlah pencalonan yang diterima beliau setakat ini meningkat kepada 37.

Bagaimanapun, jumlah pencalonan yang diterima oleh Khairy itu belum melepasi had kelayakan 39 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda. Beliau memerlukan dua lagi pencalonan untuk layak.

Seorang lagi calon jawatan itu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula turut mendapat tiga lagi pencalonan baru dari Batu, Serdang dan Beluran dan jumlah keseluruhan sokongan yang diperoleh Mohamad Khir ialah 28 pencalonan.

Beliau memerlukan 11 lagi pencalonan bagi melayakkan diri bertanding jawatan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin masih kekal dengan satu pencalonan yang diterimanya setakat ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: