PENGUNJUNG SETIA

26 Oktober 2008

IBU, 2 ANAK MAUT NAHAS

Ibu, 2 anak maut nahas

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat seorang wanita dalam nahas di Batu 29, Jalan Segamat - Muar, di Muar, semalam.

Kemalangan babit 4 kenderaan

MUAR: Tiga maut, termasuk seorang ibu dan dua anak lelakinya, manakala seorang lagi anak perempuannya cedera, dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah bas ekspres, di Batu 29, Jalan Segamat-Muar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, ibu terbabit, Mazuin Mohd Noor, 29, dan seorang anak lelakinya, Mohamad Azizan Shamsul, 2, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak lelaki, Mohamad Shazwin Azhar Shamsul, 10, meninggal dunia di Hospital Tangkak (HT).

Anak perempuannya, yang hanya dikenali sebagai Lisa, 6, cedera di muka dan menerima rawatan di hospital sama.

Keluarga itu menaiki Proton Saga hitam, manakala dua lagi kenderaan iaitu Proton Wira dinaiki sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki dan Proton Waja yang dipandu seorang lelaki.

Ketiga-tiga kereta dari arah Tangkak menuju Segamat, manakala bas ekspres yang membawa 25 penumpang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu turut menyebabkan Muhammad Amin Aminin Mohd Izam, 6, yang menaiki Proton Wira cedera di kepala dan dirawat di hospital yang sama, manakala ibu bapa Muhammad Amin Aminin; pemandu Proton Waja dan pemandu serta penumpang bas ekspres tidak mengalami kecederaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa memasuki lorong kanan jalan dan bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan, menyebabkannya berpusing sebelum dirempuh Proton Wira dan Proton Waja yang tidak sempat memberhentikan kereta mereka.

Rempuhan itu menyebabkan pemandu Proton Saga itu tersepit di tempat duduk, manakala seorang anak lelakinya tersepit di tempat duduk belakang.

SUMBER: BERITA MINGGU, 26 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: