PENGUNJUNG SETIA

09 Oktober 2008

LEBIH 100 AHLI KELUARGA PARIKON BERKUMPUL SAMBUT AIDILFITRI

Lebih 100 ahli keluarga Parikon berkumpul sambut Aidilfitri

JOHOR BAHRU 8 Okt. - Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi keluarga bekas Ketua UMNO Cawangan Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di Muar, Allahyarham Parikon Abdul Rahim apabila anak-anak dan cucu-cicit mereka berhimpun beramai-ramai menyambut Hari Lebaran baru-baru ini.

Lebih menggembirakan, pertemuan kali kelima pada 2 Syawal itu membabitkan kira-kira 100 ahli keluarganya yang terdiri tiga generasi dari seluruh negara.

Anak ketujuh Allahyarham, Faridol Atras berkata, tujuan perhimpunan itu bagi membolehkan mereka berkenalan antara satu sama lain terutamanya bagi generasi muda.

Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Hassan Yunos memberitahu, perhimpunan itu dihadiri oleh ibunya, Hasimah Abdul Hamid, 75, merupakan ahli keluarga paling tua manakala seorang cicit termuda berumur sebulan.

''Perhimpunan kali ini bertambah meriah apabila turut diadakan aktiviti sukaneka, majlis marhaban dan penyampaian hadiah serta sesi bergambar beramai-ramai.

''Juadah yang disediakan seperti jamuan sate, ketupat, nasi beriani dan kuih muih adalah hasil sumbangan sebanyak RM50 oleh setiap ahli yang telah berkahwin," katanya kepada Utusan Malaysia sambil memberitahu perhimpunan itu turut diserikan oleh persembahan kumpulan marhaban remaja Parit Jarum Darat.

Menurut Faridol Atras, pada tahun ini ahli keluarga mereka telah menempah baju T berwarna merah jambu sebagai satu kelainan yang ditaja oleh tujuh syarikat yang dimiliki ahli keluarga mereka iaitu PJD Maju Jaya, ABP Enterprise, Warisan SM Enterprise, Elly Menara Enterprise, Teknologi MBM Enterprise, Sri Umiza Enterprise dan FAF Enterprise Donation.

Selain itu, satu tabung keluarga telah diwujudkan dengan kutipan sebanyak RM15 sebulan bagi ahli keluarga yang berminat dan sehingga kini berjaya mengumpul RM5,000 untuk kegunaan ahli seperti kematian dan kecemasan.

Allahyarham Parikon yang juga merupakan bekas Ketua Kampung Parit Jarum Darat meninggal dunia pada tahun 1976 itu meninggalkan seorang balu dan 13 anak.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: