PENGUNJUNG SETIA

20 Oktober 2008

PERKUKUH UMNO, PULIH SOKONGAN SEMUA KAUM - ABDUL GHANI

Perkukuh UMNO, pulih sokongan semua kaum - Abdul Ghani

ALBUM...Menteri Besar Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang bergambar bersama Jawatankuasa UMNO bahagian itu sebelum majlis Persidangan Perwakilan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, semalam. (Foto: Adisabariman)

MUAR 19 Okt. - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyeru ahli dan pemimpin UMNO di negeri ini supaya menghindari amalan menggunakan parti untuk kepentingan diri sendiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO itu berkata, mereka sebaliknya perlu sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum bagi mengembalikan semula kepercayaan terhadap parti tersebut.

Menurut beliau, sebagai ahli UMNO yang ingin melihat parti terus kukuh, mereka perlu mengamalkan tiga prinsip untuk memperkukuhkan parti iaitu berjuang demi rakyat, berlaku adil serta membela hak semua kaum.

"Tiga perkara asas ini perlu ada dalam semua ahli UMNO jika kita ingin melihat parti ini terus mendapat kepercayaan daripada semua kaum.

"Jika ketiga-tiga perkara ini tidak diberikan penekanan oleh ahli UMNO dan masih berterusan di dalam UMNO, saya bimbang parti akan menerima padahnya iaitu tidak lagi mampu meraih sokongan sebagai pemimpin utama kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak dekat sini hari ini.

Abdul Ghani turut melahirkan kebimbangan mengenai kesan yang dialami oleh UMNO khususnya selepas pilihan raya umum pada Mac lalu apabila menghadapi cabaran sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin melihat parti itu lemah.

Menurutnya, apa yang perlu diamalkan menerusi tiga prinsip asas itu sebenarnya bukan perkara baru kerana ia telah diperjuangkan sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 iaitu mewujudkan negara dan bangsa Malaysia yang adil.

"Penubuhan UMNO ialah bagi menuntut kemerdekaan untuk kita semua iaitu rakyat di negara ini bebas daripada penjajah dan pembangunan ekonomi yang dikecapi ini perlu dikongsi semua kaum.

"Jika kita adil, saya percaya semua masyarakat di negara ini akan menyokong kita (UMNO), tanpa mengira kaum, malah UMNO juga perlu membela mereka yang berhak dibela, sama ada dia itu kaum India atau Cina," jelasnya.

Selain itu, kata Abdul Ghani, ketiga-tiga amalan tersebut perlu dilaksanakan bukan sahaja di bandar, malah kawasan luar bandar serta sasarannya pula melibatkan pelbagai peringkat usia termasuk generasi muda dan dewasa.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Ghani meminta semua ahli UMNO supaya mengelak daripada berpecah ekoran terdapat cubaan sesetengah pihak yang ingin melihat parti tersebut dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: