PENGUNJUNG SETIA

29 Oktober 2008

PERKESO SERAH FAEDAH, MESIN RM500,000

Perkeso serah faedah, mesin RM500,000


S. SUBRAMANIAM (tengah) menyampaikan cek berjumlah RM1,133.34 kepada Saharizan Kapi pada majlis penyampaian faedah Perkeso serta geran dan mesin hemodialisis di Segamat, kelmarin.

MUAR 28 Okt. - Lapan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima faedah ekoran kecederaan yang dialami di tempat kerja pada satu majlis di Segamat, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Perkeso turut menyerahkan 10 mesin dialisis dan geran kepada 10 penerima dari seluruh Johor.

Bantuan bernilai hampir RM500,000 itu disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat.

Penerima cek faedah Perkeso terdiri daripada lima pekerja yang mengalami kehilangan keupayaan sementara ketika bekerja dan masing-masing menerima bantuan faedah antara RM1,000 hingga RM6,000.

Mereka ialah Saharizan Kapi yang menerima cek faedah berjumlah RM1,133, diikuti Yoh Eng Huat (RM1,101); S. Nganaprakasam (RM2,368); balu kepada AL Arumugam (RM1,322) dan Mohd. Jufri Jahidin (RM6,419).

Selain itu, seorang penerima faedah hilang keupayaan kekal, Mohd. Othman Hussin menerima RM2,655, diikuti Ng Kim Seng yang menerima pencen penakat berjumlah RM6,138 serta B. Ramachandran yang menerima bantuan pemulihan berbentuk kerusi roda dan besi untuk berjalan.

Tiga buah pusat perubatan di Johor yang merawat pesakit buah pinggang pula masing-masing menerima sumbangan lapan buah mesin hemodialisis yang setiap seunit bernilai RM38,000.

Ketiga-tiga pusat berkenaan ialah Pertubuhan Hemodialisis Muhibbah Segamat yang menerima lima buah mesin, diikuti MAA-Medicare Kidney Charity Foundation Johor Bahru menerima dua unit serta satu unit diberikan kepada Pertubuhan Amal Lexin Johor Bahru.

Enam buah pusat rawatan dan kebajikan lagi menerima bantuan geran bernilai antara RM500 hingga RM28,500 bagi melaksanakan aktiviti kebajikan dan membantu pekerja yang menerima rawatan di pusat-pusat terbabit.

Pusat berkenaan ialah Yayasan Rotary Kluang, Kelab Rotary dan Pusat Hemodialisis Johor Bahru, Kelab Rotary dan Kebajikan Kulai, Pusat Muar Lions Renal, Pertubuhan Kebajikan Amitabha Johor Bahru, Kelab Rotary Kota Tinggi dan Pertubuhan Hemodialisis Muhibbah Segamat.

Subramaniam dalam ucapannya berkata, kementeriannya sentiasa memandang serius kebajikan para pekerja di negara ini yang tidak dapat memberikan sumbangan akibat ditimpa kemalangan sewaktu bertugas.

"Selain membantu pekerja-pekerja yang ditimpa kemalangan, kementerian melalui Perkeso telah mewujudkan bantuan rawatan hemodialisis untuk mereka yang menghidap penyakit buah pinggang sejak tahun 1999.

"Mulai 2001, kemudahan rawatan dialisis ini telah diperluaskan kepada penerima bantuan ilat dan mulai 2005, pemohon pencen ilat yang disahkan tidak menghidap keilatan juga layak menerima kemudahan rawatan ini," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan; Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Perkeso, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Johor, K. Sritharan.

Perkeso yang ditubuhkan pada tahun 1971 adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang melaksanakan skim-skim keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menurut Subramaniam, kementerian itu juga kini memberikan kemudahan kepada pusat rawatan hemodialisis di seluruh negara yang merawat lebih daripada empat pesakit buah pinggang turut layak menerima bantuan mesin hemodialisis.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: