PENGUNJUNG SETIA

27 Oktober 2008

ISKANDAR MALAYSIA BANYAK PELUANG PEKERJAAN

Iskandar Malaysia banyak peluang pekerjaan

JOHOR BAHRU 26 Okt. - Kerajaan Johor sentiasa membuka pintu kepada pekerja tempatan yang bekerja di Singapura untuk kembali ke negeri ini jika berlaku masalah pembuangan pekerja di negara jiran itu berikutan kemelesetan ekonomi dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, ini kerana terdapat kira-kira 25,000 peluang pekerjaan yang perlu direbut dalam projek pembangunan di Iskandar Malaysia di negeri ini.

Justeru jelas beliau, kerajaan negeri menasihatkan golongan yang bakal berdepan dengan masalah pekerjaan agar mengambil tindakan awal dengan mendaftar di laman web: jobsmalaysia.gov.my atau menghubungi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri.

"Kita tidak pernah menghalang pekerja tempatan yang bekerja di Singapura untuk kembali menabur bakti di Johor Bahru dan pada masa sama, kita juga tidak pernah menggalakkan mereka bekerja di negara jiran itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas tentang kemelesetan ekonomi yang bakal melanda republik itu hingga memberi kesan kepada seramai 300,000 pekerja tempatan yang bekerja di Singapura jika berlaku pembuangan pekerja beramai-ramai.

Berdasarkan statistik Jabatan Tenaga Rakyat negeri, dianggarkan antara 80,000 hingga 100,000 rakyat negara ini terutamanya yang tinggal di sekitar Johor bahru berulang-alik ke Singapura.

Asojan berkata, sebagai langkah awal, kerajaan negeri akan mengambil sikap tunggu dan lihat bagi memantau perkembangan masalah pembuangan pekerja di Singapura sebelum membuat satu kajian yang mendalam.

Jelas beliau, kajian tersebut akan melibatkan sektor yang paling teruk terjejas dengan kemelesetan ekonomi bagi mencari penyelesaian khusus terhadap masalah itu.

"Apa pun, peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia perlu direbut oleh pekerja tempatan mahir, separuh mahir dan buruh am untuk bekerja di kawasan pembangunan koridor ekonomi itu.

"Harapan saya agar rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mempunyai semangat patriotik tinggi untuk menyumbang tenaga dan jasa di tanah air sendiri," ujarnya.

Asojan berkata, pada masa sama menerusi Bajet 2009, kerajaan negeri akan terus menganjurkan sejumlah 20 Mini Karnival Pekerjaan pada tahun depan berbanding lima karnival pada tahun ini.

Mengulas tarikan utama bekerja di Singapura, beliau tidak menafikan tawaran gaji lumayan dan kadar pertukaran mata wang kedua-dua negara, menarik minat rakyat tempatan bekerja di Singapura bagi memperoleh nilai pendapatan yang lebih tinggi.

"Penggunaan tenaga buruh di Singapura tidak mencukupi dan negara jiran kita perlu bergantung dengan tenaga buruh dari Malaysia.

"Sebagai tarikannya, mereka menawarkan gaji yang lebih lumayan dan di sinilah faktor gaji memainkan peranan penting dan menjadi kekangan untuk rakyat Malaysia bekerja di negara sendiri," jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

betul ke pembangunan iskandar malaysia akan memberi peluang kerja kpd 800,000 orang pekerja????BOLEH ASOJAN BAGI DETAILNYA.bidang mana yg sangat diperlukan? cakap memang senang,sekarang ni berapa ramai anak tempatan yang dapat kerja ?? boleh bagi tau lak yg , bidang mana pulak yg ramai bekerja...jangan la suka2 cakap. berapa ramai penganggur di bkt gambir tu yang dahaga kerja? ADE KE ASOJAN tolong mereka......