LEDANG 29 Mei - Agak jarang kita mendengar kejadian amuk yang melibatkan kaum wanita.
Namun, itulah yang berlaku di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir
dekat sini hari ini apabila pelaku kes amuk itu seorang wanita yang baru
berusia 22 tahun dan dipercayai menghidap penyakit kemurungan.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya
cedera parah selepas ditetak wanita terbabit dengan parang.
Kejadian amuk itu berlaku pukul 10.41 pagi dan menyebabkan Mohd.
Revuan @ Reduan Haron, 73, meninggal dunia di tempat kejadian selepas
ditetak di kepala, bahu selain putus jari kanan.
Isterinya, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, pula cedera parah selepas ditetak di kepala.
Kejadian bermula apabila suspek wanita yang berasal dari Kampung
Sawah Ring datang dan menendang pintu rumah mangsa sambil menjerit
mendakwa abang ipar mahu merogolnya.
Wanita itu yang baru datang ke kampung tersebut tiga hari lalu dan
tinggal bersama kakaknya tiba-tiba mencapai dua bilah parang sebelum
melibas ke kiri dan kanan sambil menjerit.
Melihatkan keadaan itu, Juriah segera meminta suaminya merampas
parang tersebut tetapi tidak berjaya. Mangsa kemudian ditetak di bahu
sebelum rebah dan ditetak bertubi-tubi.
Selepas itu, wanita tersebut menyerang Juriah pula dengan menetaknya
di kepala tiga kali menyebabkan mangsa merangkak keluar rumah.
Juriah berkata, jiran datang membantu menyelamatkannya setelah
terdengar jeritan manakala kakak wanita itu yang tinggal tidak jauh dari
rumah mereka datang menenangkan adiknya.
"Ketika kejadian saya sedang masak nasi. Sebelum itu, saya dan suami terdengar wanita itu menjerit-jerit di rumah kakaknya.
"Selepas ditetak, suami saya masih bernyawa dan jiran menghubungi
ambulans," kata Juriah ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah
(HPSF) Muar hari ini.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan