PENGUNJUNG SETIA

04 Mei 2012

38 BEKAS POLIS TERIMA SUMBANGAN

LEDANG: Seramai 38 bekas polis zaman darurat dan balu mereka menerima sumbangan sagu hati khas kerajaan pada satu majlis di Balai Polis Bukit Gambir, baru-baru ini.

Sumbangan cek bernilai RM3,000 seorang itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak.

Muhammad Salleh berkata, semua penerima terbabit sebahagian bekas polis zaman darurat di seluruh negara yang layak menerima sumbangan sagu hati hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sumbangan itu bukan saja bagi menghargai pengorbanan bekas polis terbabit, malah dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

"Kerajaan menghargai jasa bekas polis yang berjuang ketika zaman darurat kerana mereka sanggup berkorban demi menjaga keamanan negara," katanya dalam ucapan sebelum menyampaikan sumbangan kepada semua penerima terbabit.

Seorang penerima, A'sah Kaimi, 77, balu kepada Abdullah Sies yang berkhidmat sebagai anggota Home Guard dari 1942 hingga 1945 berkata, dia terharu kerana kerajaan masih menghargai pengorbanan arwah suaminya.

Menurutnya, arwah suaminya menyertai Home Guard bagi membantu pasukan keselamatan menjaga keselamatan kampung daripada ancaman komunis.

"Sumbangan ini amat bermakna bagi keluarga kami apabila jasa arwah dihargai kerajaan biarpun dia meninggal dunia pada 1987.

"Saya bersyukur dan terharu. Semoga apa dilakukan kerajaan ini mendapat balasan baik," katanya ditemani anak lelakinya, Ibrahim Abdullah, 56.

Seorang lagi penerima, Koo Yaw Koui, 51, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk keperluan ibunya, Tay Mui Hian, 91, yang terlantar akibat sakit tua di di Jalan Poh Ai.

SUMBER: HARIAN METRO, 04 MEI 2012

Tiada ulasan: