PENGUNJUNG SETIA

16 Mei 2012

PENDUDUK GEMBIRA KUNJUNGAN KMJ 2012 KE KESANG TASEK

 Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersalaman dengan rakyat jelata sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 singgah di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang.


 Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersalaman dengan penerima bantuan basikal sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 singgah di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang. Foto Oleh: Hai Rozzaman Jalal  


LEDANG: Penduduk Kampung Kesang Tasek dekat Sungai Mati, di sini begitu gembira apabila kampung mereka dikunjungi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada hari ketiga Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012, kelmarin.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengungkapkan perasaan gembira dan bersyukur apabila dapat bertemu dengan baginda yang berjiwa rakyat lebih-lebih lagi buat kali pertama KMJ singgah di kampung itu.


Asmah Abd Ghani
Warga tua, Asmah Abd Ghani, 75, berkata sejak menetap di kampung itu, ini baru kali pertama dia dapat melihat Sultan Johor bertemu penduduk kampung sambil beramah mesra.

“Walaupun tidak dapat bersalam dengan baginda namun tetap gembira kampung kelahiran saya dikunjungi rombongan KMJ.

“Kami cukup bertuah dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni di samping kemajuan serta pembangunan yang terdapat di kampung ini untuk kemudahan penduduk,” katanya ketika ditemui semasa menyambut rombongan KMJ di Kompleks Sukan Tok Laji, di kampung itu.

Rakannya, Fatimah Yong, 64, turut bersyukur apabila dapat menatap wajah baginda walaupun dari jauh dan merasai kemeriahan program yang diatur.
Fatimah Yong

Katanya, banyak acara yang disediakan untuk penduduk sempena KMJ dan beliau menyertai pertandingan memarut kelapa secara tradisional.

“Dalam pertandingan ini, saya gunakan kukur kelapa berusia 30 tahun milik sendiri walaupun  mendapat tempat ketiga, saya masih bersyukur dapat menyertai program amat bermakna ini.

“Suasana harmoni seperti ini perlu dikekalkan dan jangan sesekali kita memilih kerajaan selain daripada kepimpinan yang ada sekarang agar kehidupan anak cucu kita lebih terjamin,” katanya.

Azfar Idrus

Pemimpin belia, Azfar Idrus, 24, berkata golongan muda dapat peluang mengenali baginda dengan lebih dekat dan menyertai beberapa acara yang melibatkan belia dalam program KMJ tersebut.

Katanya, golongan belia di kampungnya turut bekerjasama menyertai gotong-royong membuat persiapan program itu dan ia menunjukkan semangat bersatu padu di kalangan penduduk masih kukuh.

Othman Hamdan
Pesawah padi, Othman Hamdan, 45, turut gembira apabila baginda sanggup mencemar duli melihat sawah yang diusahakan oleh peserta Perladangan Berkelompok Sawah Kesang Tasek.

Katanya, sawah yang diusahakannya seluas 0.80 hektar turut menjadi plot contoh oleh Jabatan Pertanian Daerah Ledang sempena kunjungan baginda dan rombongan KMJ ke kampung itu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin, berkata KMJ sememangnya dinantikan seluruh rakyat daerah ini di mana ia melambangkan betapa kasihnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim terhadap rakyat jelata.

Katanya, program ini bakal menjadi kenangan dan terukir dalam lipatan sejarah selain tidak akan dilupakan oleh rakyat terutama penduduk di kampung yang disinggahi KMJ.

“Program KMJ ini juga dapat mengukuhkan perpaduan 131,890 penduduk berbilang kaum di Ledang hidup harmoni di samping mengeratkan hubungan antara istana, kerajaan dan rakyat.

“Baginda turut mengurniakan bantuan kepada 149 penerima terdiri daripada warga tua, golongan miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak Orang Asli,” katanya ketika berucap menjunjung kasih pada program KMJ di Kampung Kesang Tasek.


Tiada ulasan: