LEDANG 22 Mei - Seramai 1,711 peneroka di
Parlimen Pagoh dan Ledang menerima durian runtuh berjumlah RM25.8 juta
pada Majlis Perasmian Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global
Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Dewan Terbuka Felda Seri Ledang
dekat sini baru-baru ini.
Habuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit
Serampang, Tahir Mohd. Taat yang disaksikan Pengurus Besar Felda Wilayah
Segamat, Kasimon Salleh.
Durian runtuh berjumlah RM25.8 juta itu melibatkan 349 peneroka Felda
Moakil 1, Felda Moakil 2 (372), Felda Bukit Serampang (400), Felda Seri
Ledang (316 ), Felda Lenga (220) dan Felda Parit Haji Idris (54).
Kasimon melahirkan harapan agar peneroka tidak menjual saham yang
diberikan bersama insentif itu kerana Felda memberi keuntungan setiap
tahun selain meminta mereka tidak terpedaya dengan khabar angin
mengatakan peneroka akan kehilangan kebun dan geran dengan penyenaraian
FGVH.
"Maklumat ini tidak benar kerana ia helah pihak tertentu dalam usaha
mengurangkan keyakinan peneroka kepada kerajaan khususnya Felda,"
katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mei lalu
mengumumkan mengenai durian runtuh RM15,000 kepada setiap keluarga
peneroka termasuk saham berikutan penyenaraian FGVHB.
Najib berkata, pemberian itu melibatkan tiga fasa iaitu setiap ketua
keluarga akan menerima RM5,000 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak
RM563.715 juta, jumlah sama akan diagihkan kepada isteri peneroka
sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut dan fasa ketiga melibatkan
generasi kedua Felda.
Sementara itu, Tahir turut mengingatkan peneroka supaya menggunakan
wang tersebut secara berhemat untuk kegunaan keluarga masing-masing
kerana pemberian insentif merupakan hadiah kerajaan kepada peneroka
Felda supaya mereka boleh menikmati kehidupan lebih selesa.
"Oleh itu, peneroka seharusnya memberikan sokongan penuh kepada
kerajaan untuk terus mentadbir negara pada masa akan datang," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MEI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan