PENGUNJUNG SETIA

02 Mei 2012

KARNIVAL SUKAN RAKYAT 19-20 MEI INI

Mesyuarat Jawatankuasa induk Karnival Sukan Rakyat Felda Seri Ledang membincangkan persiapan sebelum program berlangsung di Balai Raya Felda Seri Ledang, baru-baru ini.
 
PAGOH 1 Mei - Kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri Karnival Sukan Rakyat di Felda Seri Ledang, dekat sini dari 19 hingga 20 Mei ini yang diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Zaaba Aman berkata, setakat ini, lebih 1,000 peserta telah menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam karnival yang bermula seawal pukul 8 pagi di dewan dan padang awam tanah rancangan tersebut.

"Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Seri Ledang bersama UMNO Cawangan Seri Ledang Utara ini akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh pada hari pertama karnival.

"Pelbagai jenis sukan rakyat seperti takraw, badminton, futsal, tarik tali, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, peraduan gubahan dan masakan bagi kaum ibu serta acara suami mendukung isteri akan diadakan sepanjang karnival dua hari itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Zaaba yang juga penaung kelab tersebut berkata, penggiat gasing di Felda Seri Ledang juga akan turut melakukan pertunjukan gasing pangkah pada karnival tersebut dalam usaha mempopularkan permainan tradisional ini.

Jelasnya, turut dilancarkan pada karnival itu adalah pasukan khas penyelamat 'First Response Unit (FRU) Seri Ledang', khusus untuk tanah rancangan tersebut selain penglibatan kelab motosikal berkuasa tinggi, kelab kereta BMW Malaysia dan Perdana V6 Southern Chapter.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 MEI 2012

Tiada ulasan: