PENGUNJUNG SETIA

31 Mei 2012

'BUNYI TETAKAN SEPERTI CINCANG AYAM'

Jahitan di kepala Juriah Dimiyati selepas ditetak wanita mengamuk.
 
LEDANG 30 Mei - Isteri mangsa yang ditetak wanita mengamuk di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini semalam, masih tidak dapat melupakan bunyi tetakan di kepala dan badan suaminya yang kedengaran seperti orang menetak tulang ayam.

Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, berkata, bunyi itu amat mengerikan kerana dilakukan bertubi-tubi tanpa belas kasihan walaupun suaminya, Mohd. Revuan @ Mohd. Reduan Harun 73, tidak melawan.

Dia masih terbayang suaminya yang berlumuran darah tersandar lemah di dinding bersebelahan bilik mandi selepas cedera parah di kepala, badan, paha selain putus jari kanan.

“Pada mulanya arwah cuba lari untuk selamatkan diri tetapi gagal kerana tergelincir selepas terpijak darahnya sendiri yang banyak mengalir di lantai dapur.

“Di situlah arwah terus ditetak bertalu-talu dan saya dengar dengan jelas tetakan itu seperti orang sedang mencincang ayam. Walaupun begitu saya tetap berdoa agar suami selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.41 pagi semalam, Mohd. Reduan ditetak sehingga meninggal dunia manakala Juriah ditetak di bahagian tempurung kepala tetapi sempat diselamatkan jirannya.

Suspek yang merupakan wanita berusia 22 tahun itu dipercayai tidak siuman dan menyerang pasangan tersebut di bahagian dapur dengan dua bilah parang.

Juriah yang masih trauma dan menerima 40 jahitan tidak dapat membantu suaminya kerana suspek terlalu agresif selain keadaan dirinya yang lemah dan berlumuran darah.

Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, dia merayu pihak hospital untuk keluar semalam kerana ingin melihat jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 18, Sengkang di Bukit Gambir pukul 9.30 malam tadi.

Dia berkata, tiga hari sebelum tragedi berdarah itu, mangsa sering mengatakan kakak sulungnya yang telah meninggal dunia Januari lalu, mengajaknya datang ke rumah.

Bagaimanapun Juriah menganggap suaminya hanya bergurau tetapi tidak menyangka kata-kata itu merupakan satu petanda suaminya akan menemui ajalnya semalam.

Sementara itu, anak tunggal mangsa, Mohd. Tukiran, 37, berkata, dia sekeluarga reda dengan kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

Menurut Mohd Tukiran, mereka menerima takdir tersebut dengan hati terbuka dan kini menumpukan perhatian kepada usaha untuk memulihkan emosi ibunya dan keluarga suspek juga sudah datang memohon maaf atas kejadian itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 MEI 2012

Tiada ulasan: