LEDANG 17 Mei - Seorang ibu tunggal yang miskin dan menghidap
penyakit buah pinggang dan tidak mampu menanggung kos rawatan setiap
bulan kini mampu menarik nafas lega apabila mendapat sumbangan RM34,800
daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Siti Rodziah Amin, 42, menerima sumbangan tersebut sempena jelajah
Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 yang diketuai Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar yang singgah di Kampung Kesang Tasek di sini
kelmarin.
Ibu kepada enam anak itu sebelum ini amat terbeban apabila terpaksa
menyediakan RM180 setiap kali menjalani rawatan dialisis iaitu tiga kali
seminggu.
"Saya terpaksa menggunakan sebahagian wang bantuan sara hidup
pemberian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM450 dan Baitulmal
RM400 sebulan untuk rawatan dialisis.
"Kadang-kadang saya terpaksa berhutang dengan pusat hemodialisis
kerana tidak cukup wang. Wang sumbangan MAINJ akan digunakan untuk
membiayai kos rawatan penyakit buah pinggang saya selama setahun,"
katanya yang bersyukur dan terharu dengan bantuan tersebut.
Dia yang bergantung hidup dengan wang bantuan JKM dan Baitulmal tidak
mempunyai pendapatan atau rumah sendiri dan tinggal di Taman Serom
Utama dengan sewa RM250 sebulan.
Bagaimanapun Siti Rodziah yang disahkan menghidap penyakit itu sejak
setahun lalu mengakui, ahli keluarganya banyak membantu menghulurkan
wang bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Dia berharap dapat sembuh secepat mungkin untuk memberi sepenuh
perhatian terhadap anak-anak yang tinggal bersamanya selepas dia
bercerai tiga tahun lalu.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan