PENGUNJUNG SETIA

28 Mei 2012

MAKMAL KOMPUTER SK SEROM 3 PERLU DANA RM100,000

LEDANG 27 Mei - Makmal Komputer Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 3, dekat sini, memerlukan RM100,000 untuk menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi kegunaan 560 muridnya yang rata-rata daripada keluarga berpendapatan rendah.

Guru Besarnya, Shamsudin Sarip berkata, sekolah sudah mempunyai makmal komputer tetapi kemudahan sedia ada sudah rosak dan uzur dengan pihak pengurusan tidak mempunyai peruntukan bagi penyediaan kemudahan baru.

"Kemudahan ICT itu dilihat dapat membantu pencapaian akademiknya ke tahap lebih cemerlang kerana sebelum ini SK Serom 3 menunjukkan prestasi yang baik terutama dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. 

"Selain itu ia juga diharap dapat merapatkan jurang digital antara sekolah ini dan dengan sekolah di bandar yang mungkin jauh lebih baik kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan 100 tahun SK Serom 3, dekat sini kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman merasmikan sambutan tersebut selepas itu turut merasmikan dewan serta gelanggang futsal sekolah tersebut dengan kos RM150,000.

Sambutan 100 tahun SK Serom 3 selama tiga hari bermula semalam adalah untuk mengenang kembali sejarah dan sumbangannya selain salah satu langkah untuk mengumpul dana bagi melengkapkan makmal komputer tersebut.

Menariknya, perasmian sambutan oleh Abdul Ghani adalah amat simbolik kerana tapak SK Serom 3 telah dihadiahkan oleh moyangnya, Abdullah Samsu yang merupakan Penghulu Mukim Serom pada tahun 1912.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, sekolah tersebut adalah yang tertua di daerah ini dengan bangunan asal hanya menggunakan binaan papan dan kayu.

"Hampir lima generasi di mukim Serom mendapat pendidikan awal di sekolah ini yang menempatkan satu blok kayu sebelum ditambah bangunan baru pada 1926 dan naik taraf berterusan pada 1955, 1974, 1982, 1994 dan 1996," katanya lagi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 MEI 2012

Tiada ulasan: