LEDANG 10 Mei - Lebih 170 unit komputer bernilai
kira-kira RM350,000 yang digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas
dari lima premis di daerah ini dalam operasi selama tiga hari yang
berakhir 2 Mei lalu.
Operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Ledang serta Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu juga
mendapati kesemua lima kafe siber tersebut beroperasi tanpa lesen dan
menawarkan kegiatan perjudian kepada pengunjung termasuk pelajar.
Pemilik premis disyaki menggunakan cip khas bagi menukar permainan
video kepada permainan berbentuk perjudian untuk mengaburi mata pihak
berkuasa.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Haron Idris berkata, serbuan pertama
dilakukan pukul 9.15 malam di sebuah premis dan merampas 48 unit
komputer dan menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Suria 2
pada 30 April lalu.
"Dalam serbuan kedua pukul 11.15 malam di Jalan Paya Mas, polis
merampas 23 unit pemprosesan pusat (CPU), 23 konsol permainan video
serta 21 monitor komputer dan menahan seorang penjaga premis berusia 25
tahun untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kemudian meneruskan operasi pada 1 Mei lalu
dengan melakukan pemeriksaan kira-kira pukul 8 malam di sebuah kafe
siber di Jalan Muar.
Ia diikuti dua lagi premis pada 2 Mei lalu, masing-masing di Taman
Paya Mas dan Taman Serom Utama dekat Sungai Mati dan merampas pelbagai
peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian selain dua
lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
"Kita percaya semua premis ini menawarkan kegiatan perjudian kepada
pelanggan dan komputer yang digunakan boleh ditukar untuk menjadikannya
mesin judi dengan menggunakan cip khas. Mereka juga beroperasi tanpa
lesen," katanya.
Beliau percaya premis-premis tersebut beroperasi sejak hujung tahun lalu dengan menawarkan kegiatan perjudian tersebut.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MEI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan