Ledang: Seramai 52 ketua keluarga dalam Parlimen Ledang, menerima bantuan keperluan harian dan wang tunai, bagi meringankan beban menyambut Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya, Pejabat Daerah Ledang serta Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.
Program itu juga bagi mendekatkan hubungan antara LLM serta agensi kerajaan dengan penduduk setempat.
Program lanjutan
Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Ismail Md Salleh, berkata program itu lanjutan daripada beberapa siri program CSR yang dilaksanakan tahun lalu, termasuk membantu anak kurang upaya, orang tua, program kembali ke sekolah dan anak yatim.
“Kali ini, kita menumpukan kepada keluarga berpendapatan rendah dan miskin. Seramai 52 keluarga dari sekitar Ledang dipilih bagi menerima bantuan ini,” katanya.
Ismail berkata, selain sumbangan barangan keperluan harian, pihaknya dan penyumbang lain turut menyampaikan wang tunai bagi membantu keluarga berkenaan menyambut Ramadan dengan lebih gembira serta ceria.
Hamim berkata, program CSR itu adalah kali pertama dilaksanakan oleh LLM dan syarikat terbabit di daerah berkenaan.
“Kita juga tidak mahu wujudnya keadaan apabila ada penerima mendapat banyak sumbangan manakala satu lagi pihak tidak menerimanya. Kita mahu membantu semua yang layak dengan seadilnya.
“Kerana itu saya sudah berbincang dengan Pejabat Daerah untuk menyampaikan bantuan kepada semua yang layak dan tidak seorang pun yang tertinggal,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 19 JULAI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan