PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2012

PENCURI DUA BERANAK

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


TANGKAK: Seorang bapa berusia 41 tahun bukan saja mengambil dadah jenis metaphetamin bersama anak lelakinya berusia 18 tahun, malah menjadikan anaknya itu sebagai rakan mencuri kenderaan di sekitar daerah ini dan Batu Pahat sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan dua beranak itu akhirnya tumpas selepas ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang pada 6 Julai lalu.

Mereka ditahan bersama sebuah motosikal Yamaha Ego S bernombor pendaftaran palsu di Lebuhraya Segamat-Kuantan pada jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris berkata, dua beranak dari Sungai Mati, di sini, ditahan kerana disyaki terbabit kes curi sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Bukit Gambir pada 5 Julai lalu.

"Sebaik menerima laporan, kami menubuhkan pasukan khas bagi mengesan motosikal terbabit.

"Hasilnya, kami menerima maklumat orang ramai dan mengesan motosikal berkenaan kurang daripada 24 jam," katanya pada sidang media di IPD Ledang, di sini, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya memeriksa rumah suspek di Sungai Mati di sini, sebelum menemui sebuah kereta Inokom Atos yang turut dipalsukan nombor pendaftaran.

Katanya, siasatan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Batu Pahat pada 2009 dan polis percaya ia digunakan suspek.

"Tangkapan dua beranak itu membolehkan kami menyelesaikan dua kes kecurian kenderaan sekali gus.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis metaphetamin.

"Kedua-dua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Tangkak Jaya di sini, Ahad lalu, kerana disyaki mencuri sebuah motosikal Yamaha LC 135 di Kluang, minggu lalu.

Ketika ditahan, katanya, dua suspek terbabit yang bekerja sebagai buruh duduk di atas motosikal berkenaan.

"Semakan polis mendapati suspek berusia 29 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah di Jasin, Melaka, pada 2009 dan ujian air kencing mendapati dia positif morfin.

"Manakala rakannya, tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif.

"Dua suspek itu direman sehingga 15 Julai ini bagi membantu siasatan selain membolehkan polis menyiasat sama ada mereka turut terbabit jenayah lain di daerah ini," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 JULAI 2012

Tiada ulasan: