LEDANG 12 Julai - Seramai 99 penagih ditahan di beberapa rumah dan
tempat awam sekitar daerah ini sepanjang bulan lalu membabitkan rampasan
pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM50,000.
Ketua Polis daerah, Supritendan Harun Idris berkata, mereka yang
ditahan di Ledang, Tangkak dan Sungai Mati itu berumur antara 17 hingga
56 tahun termasuk seorang wanita.
"Selain 99 orang ini ditahan atas kesalahan menagih dadah, ada
antaranya yang melakukan kesalahan lain contohnya 13 orang daripadanya
mengedar dadah secara kecil-kecilan dan tujuh lagi memiliki dadah.
"Antara dadah yang kita rampas adalah heroin seberat 50.87 gram,
ganja 1.38 gram, syabu 19.10 gram dan ekstasi 0.9 gram yang semuanya
dianggarkan bernilai RM50,000," katanya pada sidang akhbar selepas
perhimpunan bulanan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di
sini hari ini.
Harun berkata, sarang penagih di sini digempur kerana kebanyakan
mereka terlibat dengan jenayah selain untuk membanteras serta mencegah
kegiatan penyalahgunaan dadah.
Dalam kes berlainan, polis turut menahan dua beranak yang juga
penagih dadah di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat kira-kira pukul 1 pagi
Jumaat lalu kerana mencuri sebuah kereta dan motosikal.
Suspek pertama yang berusia 41 tahun berasal dari Sungai Mati dan
anaknya, 18, dari Parit Batu Mengkebang, Kuala Kerai, Kelantan didapati
positif morfin dan bekerja sebagai buruh.
"Kedua-dua beranak ini dipercayai terlibat dengan kecurian motosikal
Yamaha Ego di Bukit Gambir, di sini pada 5 Julai lalu dan kereta Inokom
Atos yang hilang di Buloh Kasap, Segamat pada 2009," katanya sambil
memberitahu suspek direman hingga esok dan kes itu disiasat di bawah
Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, seorang lagi penagih dadah berusia 23 tahun dari
Taman Ledang, Sagil ditahan di rumahnya pukul 2.30 pagi kelmarin kerana
terlibat dalam dua kes pecah rumah di kawasan kediamannya pada 25 Mei
lalu dan satu lagi di Taman Warisan, Sagil, 5 Julai lalu.
Suspek yang positif morfin tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan
semasa serbuan polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebentuk cincin
emas dan seutas loket emas.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JULAI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan