PENGUNJUNG SETIA

17 Julai 2012

TERNAKAN LEMBU INTEGRASI GAGAL

ABDUL Ghani Othman melihat peralatan yang diserahkan kepada pengusaha IKS pada majlis Penyerahan Mesin dan Bantuan Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian negeri di Sungai Mati, baru-baru ini. 
 
LEDANG 16 Julai - Kerajaan negeri kecewa dengan sikap syarikat ladang kelapa sawit termasuk di bawah penyeliaan Johor Corporation (JCorp) berikutan kegagalan mereka mengusahakan ternakan lembu secara integrasi seperti yang disarankan kira-kira 10 tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kegagalan tersebut bermakna, hasrat Johor untuk menjadi pengeluar bekalan daging utama negara juga tidak terlaksana.

"Saya percaya jika sejuta ekar ladang kelapa sawit yang ada di Johor menyambut baik saranan itu, kita akan mampu menyediakan bekalan daging yang mencukupi untuk keperluan negara.

"Ini kerana, ternakan lembu boleh membiak lebih cepat jika diternak di ladang kelapa sawit," katanya pada majlis Penyerahan Mesin dan Bantuan Program Galakan Usahawan Jabatan Pertanian Negeri Johor 2012 di Kompleks Sukan Komuniti Pulau Penarik, Sungai Mati, di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abdul Aziz Kaprawi; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan.

Memandangkan saranan itu masih relevan, beliau mencadangkan pengurusan baru J-Corp yang bermesyuarat Khamis lalu supaya memulakan ternakan secara integrasi di ladang kepunyaan syarikat kerajaan itu dengan permulaan 400 lembu.

Abdul Ghani menarik perhatian bagaimana Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang memulakan program ternakan seumpama itu di ladang seluas 1,600 hektar di Kota Tinggi berjaya menghasilkan pendapatan yang baik setiap tahun.

Beliau turut menyarankan kepada pekebun kelapa sawit yang bersaiz kecil supaya mengintegrasikan tanaman mereka dengan ternakan ayam kampung dan kolam ikan air tawar untuk menambah pendapatan.
"Kebun integrasi dapat melahirkan suasana yang menarik dan boleh membawa pulangan yang lumayan kepada pekebun kecil. 

"Mereka boleh mendapatkan tunjuk ajar dari agensi seperti jabatan pertanian dan dan lain-lain yang menyediakan kursus kemahiran," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, usaha kerajaan menggalakkan petani di luar bandar melibatkan diri dalam bidang perusahaan kecil sejak 14 tahun lalu berjaya melahirkan ramai usahawan dengan pendapatan sehingga RM1 juta setahun dan pihaknya berjaya mengesan lapan hingga 10 pengusaha kerepek yang mencapai tahap tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 JULAI 2012

Tiada ulasan: