PENGUNJUNG SETIA

18 Julai 2012

PLAZA TOL BUKIT GAMBIR DIJADUALKAN SIAP 2013

LEDANG 17 Julai - Plaza Tol Bukit Gambir yang dibina dengan kos RM80 juta bagi memudahkan penduduk Bukit Gambir dan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dijadualkan siap pada Disember 2013.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md. Salleh berkata, Tol Bukit Gambir yang mempunyai laluan masuk dan keluar ke lebuh raya itu dibina demi keselesaan dan kemudahan pengguna yang kini semakin bertambah.

"Apabila siap nanti, ia akan digunakan oleh penduduk di Bukit Gambir serta kawasan-kawasan yang berdekatan. Ini dapat merancakkan perjalanan keluar pengguna PLUS Expressways Bhd. (PLUS), selain satu lagi laluan baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial dan Korporat LLM dan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Bersama Penduduk Berpendapatan Rendah/Miskin Dalam Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri yang juga Ahli LLM berkata, tol tersebut dibina di Bukit Gambir kerana kedudukannya strategik, selain kawasan berkenaan yang sedang rancak membangun.

Katanya, projek tol yang dibina pada tahun lepas itu akan menjadi laluan alternatif kerana Tol Tangkak dan Tol Pagoh pada masa sekarang sesak dan selepas ini pengguna mempunyai pilihan lain.

"Secara langsung ia juga akan memberi manfaat dan merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat. Bukit Gambir selepas ini dijangka berubah wajah dengan adanya tol tersebut," katanya.

Dalam pada itu, seramai 52 golongan miskin dan kurang bernasib baik menerima bantuan serta sumbangan.
Program tersebut merupakan kali kedua dan empat lagi program sama akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memenuhi tanggungjawab sosial LLM yang dimulakan kira-kira tiga tahun lalu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 JULAI 2012

Tiada ulasan: