PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2012

LOKASI PALING TENANG

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


TANGKAK: Pembukaan Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang kepada orang ramai sejak 2004 memberi peluang kepada pengunjung meneroka keindahan alam semula jadi, sekali gus menjadi tempat riadah terbaik kepada pengunjung.

Jika sebelum ini pelancong lebih tertumpu di kawasan air terjun di Gunung Ledang Resort sebagai pusat rekreasi, Taman Hutan Lagenda memberikan pilihan kepada mereka yang mementingkan ketenangan dan suasana hutan.

Dengan kehijauan hutan dan alam semula jadinya, taman seluas 8,611 hektar terletak di kaki Gunung Ledang, Sagil itu, diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 2005, sekali gus menyimpan khazanah alam kepada generasi akan datang.

Renjer Hidupan Liar Taman Negara Gunung Ledang , Khairul Faizee Mohd Zain berkata, hutan simpan yang menjadi pintu masuk ke puncak gunung itu adalah tempat paling sesuai untuk menganjurkan pelbagai program dengan kemudahan lengkap.

Menurutnya, Perbadanan Taman Negara Johor mengambil langkah berhati-hati dan merancang setiap kegiatan di kawasan itu serta mengambil kira pemuliharaan hutan rimba.

Katanya, pada masa ini kawasan itu mempunyai kompleks pelawat berfungsi sebagai pusat latihan dan maklumat, dewan, asrama, chalet, tapak perkhemahan, pondok dan kafetaria untuk kegunaan pengunjung.

"Pelbagai kemudahan disediakan sedikit sebanyak menjadi daya tarikan kepada pengunjung tanpa mengira individu atau berkumpulan termasuk agensi kerajaan mengadakan seminar atau kursus di kawasan itu.

"Tidak hairanlah kehadiran pelancong ke Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang semakin meningkat dan mencatat seramai 7,646 pengunjung sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

"Jumlah itu dianggarkan bertambah menjelang akhir tahun ini dan kami menjangkakan ia mengatasi rekod keseluruhan tahun lalu iaitu 21,043 orang," katanya.

Menurutnya, pertambahan jumlah pelancong ke kawasan itu mungkin disebabkan pembukaan semula lokasi perhentian kelapan di puncak gunung berkenaan.

Katanya, sebelum ini pihaknya hanya membuka laluan pendakian hingga ke perhentian ketujuh dan menutup kawasan puncak tertinggi iaitu perhentian kelapan bagi menjaga kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun kawasan perhentian kelapan dibuka semula April lalu dan sejak itu kedatangan pelancong dan pendaki termasuk dari luar negara semakin meningkat," katanya.

Selain pembukaan semula perhentian tertinggi itu, katanya, pertambahan pengunjung ke kawasan berkenaan mungkin disebabkan pembukaan jalan baru dari pekan Sagil ke kaki Gunung Ledang yang siap dibina Februari lalu.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim berkata, menerusi pembinaan jalan itu pengunjung boleh ke kawasan berkenaan dengan lebih mudah.

Suhairi berkata, pembinaan jalan itu siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan selepas peruntukan diluluskan tahun lalu.

Menurutnya, Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang dibina sejak enam tahun lalu, tetapi disebabkan tiada laluan sempurna ke taman itu, ia kurang mendapat sambutan daripada penduduk dan orang luar.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 JULAI 2012

Tiada ulasan: