PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2012

TOL MAJUKAN BUKIT GAMBIR

 
Mudahkan pengguna, rangsang ekonomi setempat

Ledang: Pembinaan Plaza Tol Bukit Gambir, dekat sini, bukan saja dinantikan penduduk untuk laluan lebih mudah ke Lebuh Raya Utara Selatan, malah bakal memberi pelbagai kelebihan dalam aspek pembangunan
dan perniagaan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh, berkata tol berkenaan yang mempunyai laluan masuk dan keluar ke lebuh raya itu dibina demi keselesaan dan kemudahan pengguna yang semakin bertambah setiap tahun.

“Apabila siap dibina, ia akan memberi kemudahan kepada penduduk di Bukit Gambir serta kawasan berdekatan, sekali gus merancakkan perjalanan keluar pengguna menerusi satu lagi laluan baru,” katanya.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri yang juga Ahli Lembaga LLM, berkata tol berkenaan dibina di Bukit Gambir berikutan kedudukannya yang strategik, selain kawasan berkenaan sedang rancak membangun ketika ini.

Katanya, projek tol yang dibina PLUS Expressways Bhd (PLUS) bermula tahun lalu akan menjadi laluan alternatif buat pengguna kerana laluan keluar di Tol Tangkak dan Tol Pagoh pada masa sekarang semakin sesak.

“Selepas ini, pengguna mempunyai pilihan lain dan secara langsung ia juga akan memberi manfaat dan merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat. Bukit Gambir selepas ini dijangka berubah wajah dengan adanya tol berkenaan,” katanya.

Ketua Kampung Parit Zing, Md Amin Kassim, 64, bersyukur dengan pembinaan projek itu dan yakin ia akan memberi banyak manfaat kepada penduduk.

Katanya, laluan itu akan memudahkan penduduk keluar masuk dari lebuh raya, berbanding sebelum ini apabila terpaksa ke pekan Tangkak yang terletak agak jauh dan sesak.

Ketua Cawangan UMNO Parit Zing, Shakir Reduwan, 60, berkata kemudahan yang bakal disiapkan itu nanti akan memudahkan orang ramai.

“Kami juga akan mudah keluar masuk, anak-anak penduduk kampung juga senang untuk balik kampung terutama dari arah utara mahupun selatan tanpa perlu keluar dari Plaza Tol Tangkak,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 JULAI 2012

Tiada ulasan: