PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2012

BERHENTI SEKOLAH CURI BESI

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Dia memberi alasan berhenti sekolah untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi membantu keluarga tetapi, malangnya remaja perempuan itu memilih pekerjaan salah apabila terbabit dalam kegiatan mencuri besi di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, di sini, 15 Jun lalu.

Remaja itu antara 11 individu ditahan membabitkan dua kumpulan dan tangkapan berbeza kerana mencuri besi di sebuah kilang terbiar di kawasan perindustrian itu.

Semua mereka ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dalam dua tangkapan berasingan pada 15 Jun dan 21 Jun lalu dan masing-masing diberkas ketika sibuk memotong serta memindahkan besi ke dalam lori dipercayai untuk dijual.

Dalam kejadian pertama 15 Jun lalu, remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditahan bersama lima rakan lelakinya termasuk seorang kontraktor berusia 39 tahun dipercayai dalang utama kegiatan mencuri besi di kilang itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian pecah kilang itu sebelum menghantar sepasukan anggota lalu menahan semua suspek pada jam 4.30 petang.

Harun berkata, selain menahan suspek, pihaknya merampas pelbagai peralatan termasuk lima kenderaan, 10 keping besi, empat silinder gas serta dua tong gas memasak dipercayai digunakan kumpulan itu untuk kegiatan itu.

"Kami percaya kontraktor terbabit dalang utama kegiatan pecah kilang dan curi besi itu. Siasatan awal juga mendapati remaja perempuan itu sudah berhenti sekolah," katanya pada sidang akhbar di IPD Ledang, di sini, semalam.

Menurut Harun, kilang sama turut menjadi sasaran pencuri apabila sekumpulan lima lelaki termasuk empat warga Indonesia berusia antara 28 tahun dan 37 tahun, memecah masuk untuk mencuri besi dalam kejadian pada 21 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu dilihat lebih berani kerana membawa bersama sebuah forklif, tujuh tong silinder gas, empat tong gas memasak serta satu gulung kabel getah dan muncung penyembur.

Katanya, orang ramai yang menyedari kejadian itu memberikan maklumat sebelum polis menyerbu kilang berkenaan pada jam 2.40 petang dan menahan semua suspek.

"Hasil siasatan kami mendapati kilang itu tidak lagi beroperasi dan tidak dikawal pengawal keselamatan menyebabkan ia menjadi sasaran mudah pencuri besi.

"Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 13 JULAI 2012

Tiada ulasan: