Keluarga Ahmad Khamis, 45, diberi bantuan RM150 sebulan membabitkan wang tunai serta barangan dapur selama lebih setahun selepas permohonannya mendapatkan motosikal roda tiga daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) sejak 2007 untuk berniaga, buntu.
Ahmad yang tinggal di Jalan Persiaran Perdana, Tanjung Gading di sini, akhirnya memutuskan untuk tidak lagi menerima bantuan itu selepas dikecam selain mendapat tekanan masyarakat sekeliling yang mendakwa dia sekeluarga memakan duit haram.
Noh, bekas Mufti Johor menegaskan, dalam hal sebegini, jiran dan masyarakat setempat yang harus dipersalahkan kerana hanya pandai menuding jari selain mengharamkan sumber bantuan halal yang diterima keluarga berkenaan.
"Keluarga berkenaan boleh menerima dan menggunakan bantuan itu dengan syarat ia diterima atas dasar kemanusiaan selain sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam.
"Masyarakat setempat juga haruslah sentiasa memberi bantuan kepada keluarga terbabit dan pada masa sama tidak boleh mengatakan bantuan yang diterima keluarga itu adalah haram untuk diguna pakai," katanya.
Menurut Noh, masyarakat juga boleh mengambil iktibar daripada satu kisah ulama terkenal yang mendermakan wang dakwahnya kepada pelacur, penagih dadah dan sebagainya.
Menurutnya, walaupun niat baik ulama berkenaan disalahertikan segelintir pihak, namun bantuan kewangan itu berjaya membuka hati seorang pelacur untuk menerima Islam sebagai agamanya selepas itu.
"Berlainan pula dengan kisah seorang perempuan yang rajin beramal ibadat serta melakukan pelbagai perkara baik sepanjang hidupnya, namun dia menjadi ahli neraka kerana kesalahan kecil iaitu menganiaya seekor kucing dengan tidak memberi haiwan berkenaan makan serta minum," katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 29 APRIL 2011