PENGUNJUNG SETIA

04 April 2011

KUMPULAN CURI KABEL TUMPAS

LEDANG – Misteri kecurian kabel bagi komponen besi dan tembaga milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sering berlaku di sekitar daerah ini terjawab dengan penangkapan ahli kumpulan terbabit pada 27 Mac, lalu.

Hasil maklumat dan risikan, akhirnya polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang berjaya menjejaki dan menahan kumpulan terbabit di salah sebuah restoran di bandar Muar.

Difahamkan, ketika penahanan kesemua tiga suspek sedang leka menjamu selera di restoran berkenaan.

Kesemua suspek sangat dikehendaki kerana bergiat aktif dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar Ledang sejak setahun, lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek yang ditahan berusia antara 29 hingga 35 tahun.

Menurutnya, dengan penahanan mereka berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel di Ledang.

“Secara tidak langsung penangkapan dilakukan berjaya menjawab misteri kecurian kabel yang sering berlaku di sini.

“Terbaru, kumpulan ini dipercayai mencuri kabel bernilai RM80,000 di Serom Utama,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kumpulan terbabit menjadikan awal pagi waktu untuk menjalankan kegiatan mereka bagi mengaburi polis tetapi tidak berjaya.

Harun berkata, selain itu, kumpulan berkenaan dikenal pasti turut bergiat aktif melakukan kegiatan pecah masuk rumah, di sini.

“Suspek berumur 35 tahun yang berasal dari Masai, Johor Bahru dipercayai menjadi dalang kegiatan ini.

“Kini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dan memburu saki baki kumpulan ini yang turut terbabit dalam kegiatan mencuri kabel,” katanya.

Beliau berkata, suspek terbabit juga dalam tindakan untuk disambung reman bagi siasatan mengesan di mana kabel curi berkenaan dilupuskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman denda tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 4 APRIL 2011

Tiada ulasan: