PENGUNJUNG SETIA

21 April 2011

MEDAN SELERA DAIF

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


BEBERAPA kerusi dan meja rosak menyebabkan peniaga menyediakan  meja tambahan   di Medan Selera Taman Sri Jaya, Bukit Gambir.
BEBERAPA kerusi dan meja rosak menyebabkan peniaga menyediakan meja tambahan di Medan Selera Taman Sri Jaya, Bukit Gambir.

Gerai makan di Taman Sri Jaya tak diselenggara, masalah lalat


LEDANG: Serangan lalat yang dialami sekurang-kurangnya tiga bulan setiap tahun, selain penyelenggaraan sering menjadi rungutan pengunjung Medan Selera Taman Sri Jaya dekat Bukit Gambir di sini.
Masalah lalat itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan tidak diketahui di mana puncanya kerana kedudukan ladang ternakan ayam terletak agak jauh daripada medan selera berkenaan.

Tinjauan Berita Harian mendapati selain masalah lalat, banyak kerusi di medan selera itu sudah rosak dan tidak dibaiki atau diganti sejak sejak sekian lama, menyebabkan peniaga yang bertahan di situ terpaksa menggunakan kerusi dan meja sendiri.

Selain itu kipas pada tiang medan selera terbabit juga bukan saja menyakitkan mata memandang kerana rosak dan tidak boleh digunakan langsung, malah keadaannya juga sudah berkarat serta dipenuhi habuk.

Seorang pelanggan, Razali Hamid, 43, berkata beliau terpaksa menutup gelas minuman dengan tangan bagi mengelak dihurung lalat, selain terpaksa makan dengan cepat.

Katanya, medan selera itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan dibuka sehingga lewat malam tetapi persekitarannya perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kebersihannya.

“Kedudukan medan selera ini strategik kerana berada di tepi jalan utama dan taman perumahan, selain berhampiran sekolah tetapi saya hairan kenapa penyelenggaraan medan selera itu seolah-olah terabai.

“Sepatutnya pihak berkuasa tempatan membuat pemantauan dan kerja pembersihan bagi menceriakan lagi suasana medan selera ini dengan turut memastikan semua peralatan termasuk meja dan kerusi dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berharap, isu penyelenggaraan dan masalah lalat di medan selera itu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.

Peniaga medan selera itu yang enggan namanya disiarkan, mengakui masalah lalat dan penyelenggaraan yang dihadapi mereka menjadi rungutan pelanggan.

“Walaupun peniaga mengambil inisiatif sendiri dengan mengelap lantai dan meja menggunakan pencuci khas, tetapi masalah lalat tidak dapat dikawal.

“Biasanya masalah lalat ini berlarutan kira-kira tiga bulan dalam setahun, mungkin kerana faktor cuaca dan operasi ladang ternakan ayam di Jalan Sengkang,” katanya.

Difahamkan, sejak medan selera itu dibuka lebih 10 tahun lalu, kelengkapan dan peralatan yang disediakan tidak pernah dibaiki atau diganti menyebabkan peniaga terpaksa menggunakan kerusi dan meja sendiri bagi menambah kemudahan yang ada.

Selain itu, keadaan medan selera juga panas kerana kipasnya tidak boleh digunakan, walaupun sudah tiga kali ditukar.

SUMBER: BERITA HARIAN JOHOR, 21 APRIL 2011

Tiada ulasan: