PENGUNJUNG SETIA

20 April 2011

MAKAN PERMAISURI ANAI-ANAI

LEDANG - Seorang kakitangan awam, Abd Rahim Abu Bakar, 45, dari Kampung Parit Serom 1, boleh dianggap sebagai lelaki yang luar biasa apabila mempunyai kebolehan aneh, dengan memakan penghuni busut iaitu permaisuri anai-anai.

Amalan berkenaan dilakukan sejak tujuh tahun lalu setelah mengetahui rahsia serangga terbabit yang dipercayai mempunyai 99 penawar termasuk untuk kesihatan tenaga batin.

Pada masa ini, ramai yang tidak mempercayai khasiat serangga berkenaan. Namun, bagi Abd Rahim, dia sudah dapat menikmati kelebihan hasil daripada amalannya memakan permaisuri anai-anai.

Menurutnya, dia mula mencuba memakan serangga ini selepas diberitahu rakannya yang turut mengamalkannya berkaitan khasiat serangga berkenaan.

“Sehingga kini, saya telah makan sebanyak 40 permaisuri anai-anai dari busut yang ada di sekitar kampung ini.

“Permaisuri anai-anai ini sangat sukar dijumpai dan biasanya saya mencarinya dengan menggunakan cangkul,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Rahim berkata, tidak semua busut yang digalinya mengandungi permaisuri anai-anai.

“Serangga ini sangat baik dimakan terus selepas dijumpai daripada busut yang digali.

“Kepala permaisuri anai-anai ini perlu dibuang terlebih dahulu sebelum dimakannya secara menelan bersama-sama dengan air putih,” katanya.

Menurutnya, setelah tujuh tahun mengamalkannya, dia dapat merasakan perubahan terhadap kesihatannya yang dilihat lebih kuat, sihat dan bersemangat semasa bekerja.

“Makanan kesihatan ini sudah lama menjadi amalan masyarakat Cina di Singapura,” katanya.

Namun, bagi masyarakat Melayu amalan ini masih belum meluas dan tidak ramai yang sanggup makan serangga berkenaan.

Abd Rahim berkata, dia tidak pernah menetapkan syarat perlu makan serangga ini setiap hari kerana menyedari kesukaran untuk memperolehnya.

“Saya hanya akan makan permaisuri anai-anai ini apabila memperolehnya jika menggali mana-mana busut.

“Lazimnya, serangga ini berwarna kuning dan bertukar menjadi coklat apabila sudah tua,” katanya.

Kebanyakan permaisuri anai-anai berumur di antara dua hingga tiga tahun dan khasiatnya dikatakan lebih tinggi apabila lebih berusia.

Ketika ditemui, Abd Rahim sanggup mencari permaisuri anai-anai dengan menggali sebanyak empat busut dan menunjukkan demonstrasi makan serangga berkenaan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 20 APRIL 2011

Tiada ulasan: