TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 April 2011

SUNGAI SAGIL LUPUS BUKTI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


 HARUN  memeriksa komponen motosikal yang dileraikan  kumpulan curi motosikal di sekitar  Ledang, di IPD Ledang.
HARUN memeriksa komponen motosikal yang dileraikan kumpulan curi motosikal di sekitar Ledang, di IPD Ledang.

Geng motosikal curi, buang rangka motosikal hapus petunjuk

LEDANG: Sungai Sagil di sini dikesan menjadi kuburan kerangka motosikal yang dibuang geng curi kenderaan itu sebagai cara mudah melupuskan bahan bukti selepas meleraikan komponennya.
Keadaan itu juga menyebabkan anggota polis menempuh bahaya dalam air apabila terpaksa meredah dan menyelam dalam sungai terbabit bagi mengesan bukti jenayah yang dilupuskan di situ.

Perbuatan menjadikan Sungai Sagil sebagai tempat pelupusan kerangka motosikal curi dibongkar Polis Ledang, susulan kejayaan menumpaskan tiga geng curi motosikal dianggotai remaja bawah umur dan mekanik dalam tempoh tiga hari di sekitar Sagil, Bukit Gambir dan Tangkak.

Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris, berkata kumpulan pertama disertai lima lelaki termasuk tiga pelajar Tingkatan Lima dan seorang Tingkatan Empat ditahan dalam serbuan di sekitar Sagil dan Bukit Gambir, kira-kira jam 11.30 malam, 22 Mac lalu.

Katanya, turut ditahan mekanik berusia 28 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan dan membantu meleraikan komponen motosikal curi, sebelum membuang rangka motosikal ke dalam Sungai Sagil.

“Setakat ini kumpulan itu termasuk tiga remaja berusia 17 tahun dan seorang berusia 16 tahun dipercayai terbabit dalam satu kes curi motosikal berikutan penemuan sebuah rangka motosikal yang dilaporkan dicuri awal bulan lalu,” katanya.
Katanya, satu lagi geng curi motosikal berjaya ditumpaskan keesokannya apabila dua lelaki berusia 18 tahun dan 19 tahun yang sudah tidak belajar dan bekerja di kebun sawit berjaya ditahan di Bukit Gambir.

Beliau berkata, dalam operasi kira-kira jam 8 malam itu juga polis berjaya merampas sebuah motosikal dilaporkan dicuri pada 16 Mac lalu dan setakat ini siasatan awal menunjukkan kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya satu kes curi motosikal yang dilaporkan di pekan Bukit Gambir.

Harun berkata, dalam operasi yang dijalankan di Bandar Baru Tangkak, kira-kira jam 9.30 malam, pada 24 Mac lalu, polis menahan seorang lagi remaja berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah dan merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang empat hari sebelumnya.

Katanya, tiga kes geng curi motosikal yang ditumpaskan dalam tempoh tiga hari itu menunjukkan pihaknya sentiasa serius bagi menangani kes motosikal curi yang dilaporkan di sekitar daerah Ledang.

Beliau berkata, setakat ini 34 motosikal dilaporkan hilang di daerah itu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 50 kes motosikal hilang yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu dalam kes lain, polis menahan tiga lelaki berusia 29 hingga 35 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel, komponen besi dan tembaga milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekitar daerah itu.

Harun berkata, semua lelaki itu ditahan di sebuah restoran di Jalan Muar-Tangkak, kira-kira jam 8.45 malam, pada 27 Mac lalu.

Katanya, setakat ini ketiga-tiga lelaki itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya sembilan kes curi kabel, komponen besi dan tembaga yang dilaporkan di daerah itu dengan kerugian dianggarkan lebih RM150,000.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 APRIL 2011

Tiada ulasan: