TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 April 2011

PENERIMA WANG IHSAN TERCICIR

LEDANG - Mangsa banjir yang tercicir menerima bantuan wang ihsan banjir disampaikan di Kompleks Sukan Pagoh pada 31 Mac lalu, adalah tidak disengajakan dan terjadi disebabkan masalah teknikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tahir Mohd Taat berkata, langkah proaktif dilakukan dengan mengumpulkan nama mereka yang tercicir dan diserahkan kepada pegawai daerah Muar dan Ledang serta Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya, ia bagi membolehkan mereka menerima wang ihsan yang dijanjikan kerajaan.

“Kesemua mereka ini diputuskan untuk menerima wang ihsan sebanyak RM500 yang disampaikan pada hari ini (semalam) di Dewan Serbaguna Kundang Ulu.

“Pemberian wang ihsan ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat berikutan insiden banjir yang berlaku pada Februari lalu,” katanya pada perasmian Program Juara Rakyat Parlimen Pagoh dan Penyerahan Wang Ihsan Banjir DUN Bukit Serampang di Kompleks Serbaguna Kundang Ulu di sini, semalam.

Beliau berkata, rakyat di negara ini sangat bertuah kerana bencana alam yang melanda di negara ini tidak seburuk seperti di negara luar.

“Kita perlu mencontohi semangat dan disiplin rakyat Jepun ketika negara mereka mengalami bencana tsunami dan gempa bumi.

“Mereka tidak panik menghadapi bencana ini sebaliknya berjaya mengurus serta menyelamat rakyat yang menjadi mangsa bencana dengan cekap,” katanya.

Tahir berkata, tahap perpaduan rakyat di negara ini khususnya di DUN Bukit Serampang semakin berada pada tahap yang baik.

“Ia hasil daripada keberkesanan Slogan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berteraskan per- paduan.

“Keamanan yang diperoleh negara ketika ini hasil daripada penyatuan kaum semasa negara dijajah oleh penjajah asing,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin negara pada masa itu bekerja keras untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah yang capai melalui kemerdekaan pada 1957.

“Maka generasi sekarang perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mempertahankan kemakmuran dan kedaulatan negara yang dikecap hari ini.

“Apabila hendak mencapai Gagasan 1Malaysia dan negara maju menjelang 2020 kelak, inti patinya ialah meningkatkan soal ekonomi dan pendidikan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 14 APRIL 2011

Tiada ulasan: