LEDANG 27 Jun - Polis berjaya melumpuhkan
kegiatan pencetakan dan pengedaran wang palsu membabitkan rampasan
berjumlah RM24,586 dengan penahanan dua lelaki, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, dalam tangkapan
pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun ketika sedang
mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak di Tanjung Agas, dekat
sini.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, polis
menemui sejumlah wang kertas dipercayai palsu bernilai RM22,576 dalam
beg sandang yang dibawanya.
"Suspek berasal dari Sungai Mati dan bekerja sebagai buruh dipercayai
mahu mengedarkan wang tersebut kepada pelanggannya," katanya dalam
sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini hari ini.
Susulan tangkapan pertama itu, polis kemudian berjaya menahan seorang
lagi suspek berusia 23 tahun di rumahnya di Muar yang bekerja sebagai
pembantu kedai gambar.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai wang kertas
dipercayai palsu berjumlah RM2,010 yang disembunyikan di rumah
berkenaan.
"Kita turut menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencetak
wang palsu tersebut seperti mesin pencetak, dua set komputer, kertas A4
dan pisau. Mereka adalah rakan dan dipercayai baru enam bulan aktif
dalam kegiatan itu," katanya.
Menurutnya, pihak Bank Negara turut mengesahkan wang yang dirampas
daripada kedua-dua suspek adalah palsu dan siasatan lanjut sedang
dilakukan bagi mengetahui tujuan percetakan itu sama ada untuk kegunaan
sendiri atau dijual.
"Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif
dadah jenis syabu tetapi mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Mereka ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan dalam
usaha gerakan menjejaki saki-baki ahli yang masih bebas. Kes disiasat
mengikut Seksyen 489A dan Seksyen 489C Kanun Keseksaan," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 JUN 2013