TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Jun 2013

KEBIRU SK SEROM 5 RAI WARGA EMAS SAMBUT HARI GURU





Guru Besar Sekolah Kebangsaan Serom 5, Zainal Ahmad (dua kanan) menyampaikan sumbangan Kelab Bilik Guru (KEBIRU) kepada warga emas dalam Program Khidmat Masyarakat sempena sambutan Hari Guru sekolah itu.

Ledang: Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 5, di sini bukan meraikan para pendidik saja tetapi turut disertai 15 warga emas dan golongan kurang berkemampuan yang dijemput khas dalam program anjuran Kelab Bilik Guru (KEBIRU) sekolah itu.

Pengerusinya, A Rahim Aziz berkata, program khidmat masyarakat KEBIRU yang menjadi rutin tahunan sejak 2008 itu bertujuan  mendekati masyarakat kampung khususnya warga emas, anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Katanya, ahli kelab yang terdiri daripada guru dan staf mengumpulkan dana dan barangan makanan untuk disumbangkan kepada mereka.

“Budaya membantu golongan memerlukan ini dapat mendidik anak-anak murid mengenai kepentingan bersedekah dan menderma yang dapat menyucikan harta benda serta pendapatan yang diperoleh.

“Tahun ini anak-anak murid dapat menyaksikan sendiri guru mereka menyerahkan sumbangan kepada warga emas dan kurang berkemampuan selain mendidik mereka mengenai budaya bantu membantu sesama insan,” katanya.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian itu disampaikan Guru Besar SK Serom 5, Zainal Ahmad.

A Rahim berkata, tahun sebelumnya, ahli KEBIRU berkunjung ke rumah golongan berkenaan menziarahi mereka sambil menyampaikan sumbangan namun kali ini mereka hadir ke sekolah untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Guru.

Sementara itu, Zainal berkata sepanjang bertugas di lima buah sekolah, SK Serom 5 mencipta kelainan apabila mengadakan sambutan sederhana tetapi menyentuh perasaan bila melibatkan golongan warga emas, kurang upaya dan anak yatim kampung berkenaan.-iNFOLEDANG

Tiada ulasan: