TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Jun 2013

EKSPORT HALAL TEMPATAN HANYA RM30 BILION SETAHUN

LEDANG 1 Jun - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggesa usahawan Islam agar merebut peluang dalam industri halal antarabangsa berikutan nilai dagangan sektor itu yang kini mencecah RM73 trilion setahun.

Timbalan Menterinya, Ir. Hamim Samuri berkata, setakat ini penglibatan usahawan tempatan dalam mengeksport produk mereka untuk pasaran industri itu hanya bernilai RM30 bilion setahun dan jumlah tersebut masih kecil berbanding keperluan semasa.

"Usahawan Malaysia boleh menceburi pelbagai produk halal yang meliputi bahan makanan, kosmetik, ubat-ubatan dan barangan pengguna lain kerana peluang pasarannya amat besar.

"Justeru kita mengalu-alukan sesiapa sahaja terutama umat Islam membekalkan produk halal yang cukup besar pasarannya di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Jamek Bandar Tangkak, di sini semalam.

Katanya, produk halal keluaran negara ini lebih diyakini di peringkat antarabangsa kerana Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang kerajaannya terlibat dalam mengeluarkan sijil halal bagi menjamin status halal sesuatu produk.

Menurut Hamim, di negara-negara lain tugas mengeluarkan sijil halal dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan termasuk persatuan dan pihak pengurusan masjid.

"Kerajaan Malaysia amat komited dalam soal mengeluarkan sijil halal terhadap produk halal, perkara seperti ini tidak berlaku di negara lain termasuk di negara-negara Asia Barat. Saya mengajak usahawan negara ini terutama umat Islam supaya melihat potensi yang ada seterusnya meneroka perdagangan antarabangsa," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang memberitahu, kementerian menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada mereka yang bersedia menceburkan diri dalam bidang pengeluaran produk halal.

Bagaimanapun katanya, mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan tertentu sebelum barangan layak mendapat sijil halal dan dibenarkan untuk dieksport.

Dalam pada itu, beliau berharap usahawan di Ledang mendapatkan maklumat dari bahagian-bahagian tertentu termasuk Unit Penyertaan Bumiputera di bahawa kementerian tersebut untuk mendapatkan bantuan bagi meningkatkan perusahaan mereka.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 02 JUN 2013

Tiada ulasan: