TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Mei 2013

PARAH DITIMPA TANDAN SAWIT

TEO Liang Chuan yang ditimpa setandan kelapa sawit dibawa ke bilik kecemasan HPSF di Muar, Johor, semalam.
 
LEDANG 29 Mei - Seorang pekebun lelaki cedera parah di muka dan kepala selepas ditimpa setandan kelapa sawit seberat 20 kilogram yang dipetiknya di sebuah kebun di Parit Bunga dekat sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 11 pagi mengakibatkan Teo Liang Chuan, 43, patah tulang hidung manakala tempurung kepalanya retak sehingga terpaksa dirawat di wad kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Ketika kejadian, isterinya yang berusia lingkungan 40-an berada selang tiga pokok dari tempat Liang Chuan memetik buah kelapa sawit berkenaan.

Difahamkan, mangsa mengambil alih tugas memetik buah itu di kebun milik rakannya selepas salah seorang daripada pekerjanya berhenti beberapa bulan lalu.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Teo, 60-an, berkata, anaknya datang ke kebun itu ditemani isteri dan seorang pekerja warga Indonesia.

"Tandan kelapa sawit itu jatuh dari ketinggian 15 kaki (4.5 meter), menimpa muka anak saya menyebabkan dia terus rebah dan pengsan. Menantu saya kemudian segera membawa suaminya ke hospital dalam keadaan muka berlumuran darah," katanya ketika ditemui di hospital.

Menurut Teo, ini merupakan pengalaman mengerikan menimpa anaknya itu yang sudah 10 tahun berpengalaman memetik tandan kelapa sawit.

Meskipun kecederaan yang dihadapi Lian Chuan agak teruk, dia berharap anaknya dapat diselamatkan dan pulih seperti sedia kala.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2013

Tiada ulasan: