PENGUNJUNG SETIA

09 Mei 2013

ASOJAN IKRAR TEPATI JANJI

M. Asojan
LEDANG 8 Mei - Setiausaha MIC negeri, M. Asojan yang berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dekat sini, bagi penggal ketiga berikrar melaksanakan semua perkara yang dijanjikan kepada 20,740 pengundi di kawasan itu sebelum ini.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri itu berkata, antara yang akan dilakukan ialah membina sebuah lagi sekolah menengah di Bukit Gambir.

“Perancangan ini sudah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semasa melawat ke DUN Gambir minggu lalu.

“Beliau sudah bersetuju untuk mempercepat pembinaan sekolah ini kerana menjadi keperluan mendesak berikutan pertambahan bilangan penduduk di sini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Asojan menang dengan majoriti 310 undi dalam pertandingan empat penjuru selepas mendapat 8,705 undi menewaskan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed (8,395 undi) manakala dua calon Bebas, Mohd. Zan Abu (837 undi) dan Yunus Mustakim (261 undi).

Asojan berkata, kira-kira 120 unit rumah kos sederhana rendah juga akan dibina di Mukim Sagil. 

Katanya, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang dan MyKasih berjumlah RM80 sebulan juga akan ditambah daripada 800 kepada 1,300 penerima.

“Kerajaan negeri juga sudah meluluskan peruntukan RM4.2 juta untuk membina Masjid Bukit Gambir. Kita bercadang membina kilang di Sengkang dan Sagil bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 5,000 penduduk di setiap kawasan itu yang ketika ini terpaksa berhijrah mencari pekerjaan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 MEI 2013

Tiada ulasan: