PENGUNJUNG SETIA

08 Mei 2013

ASOJAN TERKEJUT KALAHKAN PESURUHJAYA PAS NEGERI

LEDANG 7 Mei - Setiausaha MIC negeri, M. Asojan terkejut mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir bagi penggal ketiga walaupun berdepan pertembungan empat penjuru termasuk melawan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

Beliau yang menang dengan majoriti tipis iaitu 310 undi berkata, cabaran terlalu sengit apatah lagi semua calon lawan adalah Melayu dan terpaksa bertanding di kawasan majoriti kaum berkenaan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri itu berkata, saingan kian sengit apabila terpaksa berdepan strategi pembangkang serta dua calon Bebas yang meniupkan api perkauman dan memainkan sentimen agama dalam kempen mereka.

"Saya juga kecewa dengan undi kaum Cina yang merosot. Apa yang berlaku hanya sekitar 20 hingga 25 peratus sahaja pengundi Cina memilih Barisan Nasional (BN), selebihnya mereka mengundi calon Pas yang merupakan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang.

"Pada mulanya, saya mengharapkan sokongan pengundi Cina memandangkan sukar mendapatkan sokongan bangsa Melayu kerana ada dua calon Bebas Melayu dalam pertempuran empat penjuru ini tetapi sebaliknya berlaku," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang berakhir kelmarin, Asojan mendapat 8,705 undi, Mahfodz pula meraih 8,395 manakala dua calon Bebas, Mohd. Zan Abu (837) dan Yunus Mustakim (261).

Asojan mengaku turut terkejut kerana peningkatan peratusan pengundi luar yang agak tinggi terutama dari Singapura dan Kuala Lumpur di DUN Gambir.

Lebih mengejutkan, terdapat kalangan pengundi Cina mengaku dipaksa anak-anak dan saudara-mara supaya menukar undi kepada Pas.

"Saya mendapat undi yang teruk di kawasan majoriti penduduk Cina terutama di Pekan Bukit Gambir bahagian utara dan barat serta di Pekan Sengkang. Ini memberikan gambaran jelas politik perkauman semakin menular dan secara terangan kaum Cina menolak BN," katanya.

Bagaimanapun, kemenangannya kali ini banyak dibantu oleh pengundi Melayu dan India serta undi daripada pekerja ladang dan penduduk kawasan luar bandar.

"Kaum Cina menolak BN kerana ada agenda nasional yang cuba dibangkitkan mereka. Kerajaan sudah memberikan banyak bantuan kepada mereka tetapi tetap menolak BN," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 MEI 2013

Tiada ulasan: