TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Mei 2013

KEDAI KOPI WONG BON KONG KEGEMARAN GHANI OTHMAN


Abdul Ghani Othman
Abdul Ghani Othman 
 
LEDANG - Kedai Kopi Wong Bon Kong yang terletak di deretan bangunan lama di tengah-tengah pekan Sungai Mati di sini kelihatan biasa bagi orang yang lalu-lalang di sekitarnya.
  
Namun tidak ramai yang tahu kedai yang berdindingkan papan dan wujud sejak zaman pemerintahan Jepun itu merupakan kedai kopi yang menjadi kegemaran Datuk Abdul Ghani Othman untuk mengunjunginya sejak zaman muda.
  
Pemiliknya Ah Koon, 59, berkata menteri besar itu  akan singgah selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Sungai Mati yang terletak berhampiran.
  
"Dulu dia belajar ke luar negara, tetapi lepas dia pulang dan jadi Menteri Belia dan Sukan, pun dia akan datang ke sini. Cuma bila sudah jadi menteri besar, kita tahulah dia sibuk dan tak boleh selalu datang," katanya kepada Bernama.
  
Ah Koon berkata Abdul Ghani gemar kopi susu dan akan meluangkan masa kira-kira sejam di kedainya bersama rakan-rakan atau para pegawainya.
  
Mengenai sifat Abdul Ghani, beliau berkata beliau seorang yang pendiam tetapi tidak sombong.
  
"Dia seorang yang tidak bercakap besar, rendah diri dan gentleman. Bila dia sampai saja, kita sudah tahu dia mahu minum apa, tak perlu ambil pesanan," katanya yang mengambil alih perniagaan itu daripada bapanya lebih 30 tahun lepas.
  
Selepas empat penggal menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Serom, Abdul Ghani kali ini akan bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah menentang

Penasihat DAP Lim Kit Siang.
  
Perpindahan kawasan itu menimbulkan rasa sedih buat Ah Koon dan isterinya yang mesra dengan panggilan Aunty Ng, 57.
  
Namun mereka yakin Abdul Ghani tidak akan melupakan penduduk Sungai Mati.
  
"Dia sangat bagus, cekap dan saya banyak sayang dengan dia. Kalau dia ada di sini lebih bagus. Tapi kita rasa sana dia jaga, sini akan jaga juga," kata Ng.
 
Abdul Ghani juga dikatakan gemar bersarapan pagi di Warung Bersaudara setiap kali selepas solat Subuh dan menziarahi pusara ibunya.
  
Dengan berbaju Teluk Belanga dan berkain pelekat, beliau biasanya akan memilih meja di sebelah kanan warung dan memesan lontong bersama teh tarik, kata seorang pekerja warung yang hanya mahu dikenali sebagai Abu.
  
Beliau berkata masyarakat Serom memang berat mahu melepaskan Abdul Ghani ke Gelang Patah, tetapi mereka rela berkorban dan memberi sokongan padu kepadanya demi kemenangan BN.
  
"Kita harap masyarakat di Gelang Patah dapat menerima Abdul Ghani sebagaimana penduduk di Serom," katanya. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 2 MEI 2013

Tiada ulasan: