PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2013

SULTAN JOHOR GESA HENTI SEBAR FITNAH BERBAUR POLITIK

JOHOR BAHRU 14 Mei - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa pihak-pihak tertentu berhenti menyebar fitnah dan hasutan berbaur politik sehingga boleh menimbulkan kebencian antara rakyat dan menggugat perpaduan serta keamanan negara.

Baginda bertitah, waktu berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah tamat dan tiba masanya untuk semua wakil rakyat bekerja dan menunaikan janji yang dibuat sepanjang kempen itu.

"Saya tidak mahu mendengar ada lagi pihak yang terus menyebar fitnah serta hasutan berbaur politik yang mampu menimbulkan kebencian antara rakyat, menggugat perpaduan dan keamanan negara.

"Jika ada mana-mana wakil rakyat yang merasakan mereka tidak sesuai atau tidak mampu memikul tanggungjawab diberikan, mereka boleh bangun dan keluar sekarang. Sekarang adalah masa untuk bekerja," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Majlis Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor baharu di hadapan Sultan Ibrahim.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi berusia 55 tahun itu mengetuai barisan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengangkat sumpah pada pukul 10.35 pagi.

Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu bersungguh-sungguh menyatupadukan rakyat dan mengukuhkan kemajuan negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Baginda menyifatkan tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri bagi tempoh itu sebagai amat mencabar dan semua pihak bukan sahaja perlu gigih berusaha memajukan lagi negeri ini malah meningkatkan keharmonian antara kaum.

Titah Sultan Ibrahim, sebagai pemerintah yang menaungi semua rakyat negeri ini baginda tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan tidak memandang rendah kepada sesiapa.

Sehubungan itu, baginda mengarahkan barisan Exco supaya perlu ada wakil daripada kaum Cina dan India.

"Saya amat prihatin dan akan sentiasa mengambil berat tentang keadaan rakyat dan negeri saya. Oleh yang demikian, bagi pihak rakyat, saya mahu setiap janji yang dibuat mestilah ditunaikan," titah baginda.

Dalam masa sama, baginda juga mahu semua wakil rakyat memahami isi kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 iaitu negeri ini ditubuhkan lebih awal daripada kerajaan Malaysia dan peraturan serta tatacara bagi Dewan Undangan Negeri Johor perlu dipatuhi.

"Saya berharap Menteri Besar dan barisan Exco akan memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri Johor berbanding kepentingan peribadi.

"Saya akan sentiasa memerhati dan memberikan nasihat serta teguran demi kepentingan rakyat dan negeri saya," titah baginda.

Pakatan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan beberapa siri perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13 antaranya di Kelana Jaya, Pulau PInang dan Ipoh.

Mereka bercadang mengadakan perhimpunan yang sama di Dataran Bandaraya di sini esok dan sedang giat menghasut rakyat supaya menyertai perhimpunan itu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 MEI 2013

Tiada ulasan: