TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Mei 2013

CALON BEBAS LIBATKAN DIRI DENGAN NGO

LEDANG 7 Mei - Bergerak selaku pertubuhan bukan kerajaan menjadi pilihan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd. Zan Abu yang percaya cara itu adalah yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang itu akur bahawa calon Bebas memang tidak mendapat sokongan daripada pengundi.

"Memang kita tidak boleh bergerak sangat, cuma saya tetap dengan pendirian untuk menuntut janji yang pernah diberikan oleh Menteri Besar dulu.

"Saya sebenarnya tidak pernah memikirkan untuk menjadi calon kerana apa yang saya lakukan adalah untuk kepentingan masyarakat di sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, kedudukannya ketika ini membolehkan beliau lebih memahami rakyat dan mengetahui apa yang berlaku tidak seperti ketika berada dalam parti kerana wujud halangan tertentu.

Dalam saingan empat penjuru pada PRU-13, Mohd. Zan memperoleh 837 undi manakala seorang lagi calon Bebas, Yunus Mustakim mendapat 261 undi.

Calon Barisan Nasional (BN) M. Asojan mendapat 8,705 undi manakala wakil Pas, Mahfodz Mohamed menerima 8,397 undi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 MEI 2013

Tiada ulasan: