PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2013

KHALED ANGKAT SUMPAH MB JOHOR

JOHOR BAHRU 14 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi berusia 55 tahun itu mengetuai barisan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pukul 10.35 pagi.

Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor kali ini menampilkan tujuh muka baharu dan mengekalkan dua muka lama. 

Mohamed Khaled yang merupakan anak kelahiran Muar dilantik menerajui kepimpinan negeri ini bagi menggantikan bekas Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang berkhidmat lebih 18 tahun dari 1995 hingga April 2013.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mohamed Khaled menewaskan calon Pas, Syed Othman Abdullah dengan majoriti sebanyak 5,752 undi selepas mendapat 23,952 undi berbanding lawannya (18,200 undi).

Selepas tamat pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM), Mohamed Khaled menyertai Jabatan Undang-Undang di Petrolium Nasional (Petronas) sebelum menjadi Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada 1983.

Dalam tempoh itu, Mohamed Khaled terus aktif dalam politik dan pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dan menyandang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru dari 1998 hingga 2003.

Di peringkat Pusat, beliau terpilih sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada 1993 dan berjaya mempertahan jawatan sama dalam pemilihan 1996 hingga 2000.

Karier Mohamed Khaled sebagai Ahli Parlimen bermula pada 1990 selepas menang kerusi Parlimen Johor Bahru untuk tiga penggal berturut-turut sebelum beralih ke kerusi Parlimen Pasir Gudang pada 2004 hingga April 2013.

Selain Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled pernah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004-2008).

Sebelum itu, beliau pernah dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya dari 1999 hingga 2004.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Rosni Omar pada 1986 dan mempunyai seorang anak lelaki, Akmal Saufi, 26.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 MEI 2013

Tiada ulasan: