TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 Mei 2013

JANGAN UNDI BEKAS AHLI BN BERTANDING BEBAS

MUHYIDDIN Yassin melakukan tinjauan mesra sekitar pekan Bukit Gambir sebelum melancarkan Gelombang Biru Wanita Barisan Nasional Ledang di Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam. - BERNAMA
 
LEDANG 3 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengundi tidak memilih mana-mana bekas ahli Barisan Nasional (BN) yang bertanding atas tiket Bebas sebaliknya menentang mereka habis-habisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, tiada istilah 'rakan BN' buat mereka dan tiada sebarang simpati harus ditunjukkan walaupun ada antaranya pernah menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan dalam UMNO kerana berpaling tadah menentang BN.

"Beri tamparan mati kepada semua calon Bebas, tiada istilah rakan BN, saya mahu jelaskan mereka bukan lagi ahli UMNO, mereka menentang kita, apabila mereka tentang kita mereka adalah musuh kita.

"Jawatankuasa Disiplin sudah pecat mereka, jangan bagi simpati kepada mereka," katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Biru Wanita BN Ledang di Stadium Foong Yoon Kong, di Bukit Gambir, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, M. Asojan dan calon BN DUN Serom, Abdul Razak Minhat.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa jentera BN bekerja 10 kali ganda lebih kuat dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum hari mengundi bagi memastikan kemenangan besar calon-calon BN.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berbangga kerana Gelombang Biru kini boleh dilihat di mana-mana dan menerima sambutan luar biasa rakyat di seluruh negara.

"Memang tidak diduga (sambutan Gelombang Biru) bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, tetapi kaum lain juga. Kita harap BN akan sekali lagi diberi kepercayaan (sebagai Kerajaan Pusat) di Putrajaya dan (kerajaan negeri) di Nusajaya," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 MEI 2013

Tiada ulasan: