TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2013

ISTERI TIMBALAN KSU KBS MAUT

LEDANG 12 Mei - Isteri kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Zaidon Asmuni maut dalam kemalangan di Kilometer 157.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, Zaidon, 57, patah tangan dan cedera di kaki manakala anak perempuan pasangan tersebut berusia 21 tahun dan anak lelakinya, 12 tahun cedera di bahagian badan.

Jenazah Datin Halimah Awaludin, 55, dihantar ke Hospital Tangkak di sini manakala Zaidon dan dua anak mereka menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Perdana V6 yang dinaiki empat beranak bersama pemandunya berusia 22 tahun itu hilang kawalan.

"Akibatnya, kereta berkenaan merempuh sebuah treler di hadapannya sebelum berpusing dan melanggar pembahagi jalan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala yang lain cedera.

"Namun pemandu kereta itu dan pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan. Dipercayai keluarga Zaidon ketika itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Batu Pahat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, jenazah Halimah telah dihantar ke Putrajaya untuk dikebumikan petang ini. Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim turut menziarahi Zaidon dan anak-anaknya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 MEI 2013

Tiada ulasan: