TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Mei 2013

GENG KACAU DIBERKAS

Wartawan Sinar Harian
Geng Kacau diberkas
Harun menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan sepasang kekasih pada 29 April lalu.
 
LEDANG - Tiga  remaja bersama seorang  kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikenali sebagai ‘Geng Kacau’ ditahan selepas beberapa jam memecah masuk pejabat  sebuah sekolah di sekitar  bandar ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kumpulan itu bertindak demikian dipercayai kerana tidak puas hati dengan tindakan guru disiplin merampas barang peribadi mereka seperti telefon bimbit dan rantai leher, kelmarin.

“Tangkapan pertama ke atas remaja berusia berusia 15 tahun dilakukan di sekolah tersebut kira-kira jam 9.10 pagi semalam.

“Hasil maklumat diperoleh daripada suspek pertama,  polis berjaya menangkap dua lagi rakannya di sekolah sama, manakala murid berusia 11 tahun itu ditahan di sekolahnya tidak jauh dari situ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Harun berkata, semua  suspek berasal dari Tangkak, di sini, kecuali murid 11 tahun itu dari Serom, Sungai Mati, dekat sini, dan masing-masing  masing masih bersekolah.

Tambahnya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui semula empat telefon bimbit, dua utas jam, minyak wangi, rantai leher dan empat tali pinggang.

“Kita juga turut menemui dua komik dan sebuah cakera padat digital (DVD) bertajuk Jiwa Kacau. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harun berkata, polis menahan sepasang kekasih di Tangkak di sini, kira-kira pukul 11.30 malam, 29 April lalu, kerana memiliki pelbagai  jenis dadah yang dianggarkan  bernilai lebih RM12,000.

Menurutnya, suspek lelaki berumur 36 tahun dari Taman Tangkak Jaya, di sini, mana-kala teman wanitanya pula berusia 29 tahun dari Taman Tasik Rian di sini.

“Kedua-duanya menyewa sebuah rumah di jalan itu. Polis merampas syabu seberat 48.4 gram (g), heroin (38.25g) dan empat biji pil ekstasi.

“Pasanga tersebut tidak bekerja dan positif dadah. Suspek wanita mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan dadah di Pontian pada 2012,” katanya.

Harun berkata, pihaknya percaya semua dadah berkenaan untuk diedarkan secara kecil-kecilan bagi pasaran setempat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, beliau berkata, polis menemui petunjuk baru berhubung kes penemuan mayat seorang jurutera, Muthu Pillai, 41, dari Batu Berendam, Melaka dengan tiga kesan tembakan di sebuah ladang  sawit di Jalan Bekok, Tangkak, dekat sini, malam kelmarin.

“Mereka yang terlibat akan ditangkap dalam masa terdekat dan polis percaya mangsa ditembak di ladang tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 MEI 2013

Tiada ulasan: