PENGUNJUNG SETIA

14 Mei 2013

DEWAN SMK LEDANG DIJANGKA SIAP JULAI INI

LEDANG 13 Mei - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang di sini bakal mempunyai dewan baharu yang dibina dengan kos kira-kira RM1.3 juta dan dijadualkan siap Julai ini.

Pengetuanya, Mohd. Ibrahim Adzrai berkata, dewan berkenaan yang mampu menampung 1,400 pelajar itu dinamakan Dewan Dato' Abdul Ghani Othman sebagai menghargai dan penghormatan kepada bekas Menteri Besar Johor itu yang merupakan penggerak utama projek tersebut.

"Projek ini dimulakan pada Mac 2012 dan dijangka siap beberapa bulan lagi. Awalnya Abdul Ghani meluluskan RM1 juta sebelum ditambah RM300,000 lagi. Dewan ini akan membolehkan banyak program dijalankan termasuk aktiviti kokurikulum.

"Kita juga akan menjalankan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini di dalam dewan tersebut. Ini merupakan dewan tertutup pertama yang dilengkapkan dengan sistem penghawa dingin di daerah ini," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd. Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan mengehadkan penggunaan serta fungsi dewan berkenaan untuk kegunaan SMK Ledang sahaja, sebaliknya membenarkannya untuk disewa orang awam yang berminat menganjurkan program atau majlis perkahwinan.

Sementara itu, beliau memberitahu, keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang mencatatkan kelulusan 100 peratus selama 12 tahun berturut-turut membolehkan sekolah tersebut diiktiraf kedua terbaik pencapaiannya di daerah ini.

Justeru, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan pencapaian pada tahun ini dengan kerja keras 104 tenaga pengajar serta sokongan padu daripada ibu bapa.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 MEI 2013

Tiada ulasan: