TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

09 Mei 2013

MAYAT JURUTERA DITEMUI DENGAN KESAN TEMBAK DI LADANG SAWIT

LEDANG 8 Mei - Seorang jurutera dijumpai mati dengan tiga kesan tembakan di sebuah ladang sawit di Jalan Bekok, Tangkak, dekat sini malam tadi.

Mayat Muthu Pillai, 41, dari Batu Berendam, Melaka yang lengkap berpakaian ditemui dengan kesan tembakan di bahagian kiri kepala, dada dan pinggang dijumpai orang awam pukul 7.30 malam.

Adik mangsa, P. Sivan, 38, berkata, dia mengetahui berita sedih itu melalui kakak iparnya pukul 2.30 pagi ini yang menerima panggilan telefon daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang.

"Pada mulanya, saya tidak percaya perkara itu sehinggalah selepas membuat pengecaman mayat abang di rumah mayat Hospital Tangkak. Saya sedih tetapi terpaksa menerima hakikat abang sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.

Sivan berkata, pada hari kejadian, Muthu bekerja separuh hari dan sempat makan tengah hari bersama keluarganya dan pukul 2.30 petang semalam memberitahu isterinya mahu keluar rumah menemui rakan tetapi tidak dinyatakan lokasinya.

Sebelum ini Muthu sering kali pulang lewat ke rumah jika keluar menemui rakannya menyebabkan kakak ipar tidak mengesyaki perkara buruk menimpa suaminya, katanya.

Sivan mengakui terkejut dengan kejadian itu dan mendakwa abangnya tidak mempunyai musuh serta tidak pernah mengadu diganggu individu tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui motif sebenar kejadian dan mengesan suspek terlibat.

"Kita juga sedang siasat untuk pastikan sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum ditemui di tempat kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 MEI 2013

Tiada ulasan: